Lensa

Lemang unik dari hutan, warisan periuk kera anak Ampang

- Diterbit 12 April 2025 1:30 PM MYT

SYUQQREE DAIN

SETIAP kali menjelang Syawal, aroma harum lemang menyemarakkan suasana Aidilfitri di seluruh pelosok negara. Namun, di Ampang, sepasang suami isteri berjaya mencuri tumpuan ramai dengan sajian lemang yang luar biasa iaitu lemang periuk kera. Noor Ashraf Mashal Khan bersama isterinya, Roziefa Abu Bakar yang berasal dan menetap di Ampang mencipta kelainan dengan menghasilkan lemang istimewa yang dimasak dalam kelongsong tumbuhan hutan unik bernama periuk kera.

Idea berniaga lemang bermula pada tahun 2008, setahun selepas mereka mendirikan rumah tangga. Tanpa kampung halaman untuk dikunjungi, Ashraf melihat musim perayaan sebagai peluang menjana pendapatan sampingan. Dua tahun kemudian, pasangan ini memperkenalkan lemang periuk kera sebagai produk utama dan sambutannya amat memberangsangkan. Saiznya yang kecil dan aroma yang wangi menjadikan lemang ini bukan sahaja menarik perhatian, malah mencetuskan fenomena tersendiri.

Menurut Ashraf, keistimewaan produk mereka terletak pada kepala santan yang pekat dan harum, serta teknik pengukusan teliti yang memastikan pulut masak sempurna dan tidak lembik. Lemang ini bukan sekadar sedap, malah tampil lebih lembut, halus dan mudah dimakan. Semua kelongsong periuk kera diperoleh daripada Orang Asli di Pahang dan dipilih dengan teliti sebelum digunakan. Menariknya, tumbuhan ini akan terus tumbuh dengan lebih banyak apabila sering dipetik.

Musim perayaan adalah waktu paling sibuk buat mereka. Seawal Subuh, Ashraf dan isteri akan memulakan rutin membersihkan kelongsong, merendam pulut dan menyediakan santan. Lemang dikukus selama beberapa jam sebelum siap dijual. Permintaan lemang periuk kera amat tinggi, malah menjelang malam terakhir Ramadan, lebih 120kg lemang disiapkan dan semuanya habis ditempah awal oleh pelanggan setia. Harga lemang periuk kera ini pula dijual sekitar RM20 hingga RM36 bergantung kepada saiz dan kuantiti.

Dengan usaha gigih dan semangat untuk terus memperkenalkan makanan tradisi yang unik ini, Ashraf menyimpan impian besar untuk menjadikan Lemang Periuk Kera Ampang sebagai produk eksklusif yang mewakili keistimewaan cita rasa Malaysia. Bagi pasangan ini, lemang bukan sekadar makanan raya malah ia lambang usaha, kreativiti dan warisan tempatan yang perlu dibanggakan. – WILAYAHKU

Lensa:

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas