DIANA AMIR & SABRINA SABRE
KEMERIAHAN menyambut kedatangan Syawal tidak akan lengkap tanpa hidangan pelbagai juadah yang lazat dari kuih-muih sehingga aneka makanan berat seperti nasi tomato dan sebagainya dihidangkan.
Namun dalam kegembiraan meraikan lebaran dan rumah terbuka Aidilfitri, ramai yang terlepas pandang keperluan menjaga kesihatan selepas berjaya berbuat demikian secara konsisten ketika menjalani ibadah puasa Ramadan.
Tidak hairanlah jika terdapat di antara kita yang mengalami kenaikan badan mendadak selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri sekali gus merosakkan segala manfaat kesihatan yang diperoleh daripada ibadah puasa pada bulan Ramadan.
Berkongsi dengan Wilayahku, bekas penghidap obesiti, Nor Munirah Razman, 37, berkata setiap kali tibanya lebaran, dia teruja menikmati apa sahaja hidangan memandangkan hanya setahun sekali meraikannya.
“Tambahan pula hari raya ini sahaja yang kita dapat nikmati pelbagai juadah dengan memenuhi pelbagai jemputan kenduri, majlis kesyukuran dan rumah terbuka sama ada dari sanak saudara mahupun kenalan terdekat,” katanya.
Nor Munirah turut mengakui dirinya kurang pendedahan mengenai bahaya obesiti membuatkan dia tidak pernah mengawal pemakanannya.
“Kalau dulu saya tak kisah bab makan kerana saya sendiri menghidap obesiti sejak berumur dua tahun sehingga remaja. Ketika itu, berat saya pernah mencecah 114 kilogram (kg).
“Kemudian saya nekad untuk turunkan berat badan setelah menghidap darah tinggi selain tidak tahan dicemuh oleh seorang pakcik yang menghina saya tidak cantik.
“Bukan hanya nak nampak lawa tetapi ketika obesiti, saya mudah mendapat penyakit selain hormon period juga tidak menentu. Perasaan saya ketika itu memang down namun saya kuatkan diri berdepan dengan situasi tersebut,” katanya.
Pada 2020 ketika berusia 32 tahun, dia mengamalkan diet secara kalori defisit setiap hari selain melakukan senaman sehingga berat terkininya turun kepada 76 kilogram.
“Saya serik hidup dengan masalah obesiti, kini setiap kali tibanya Syawal atau hari biasa, saya amalkan konsep suku-suku separuh dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat, lemak dan manis dalam makanan serta minuman.
“Bukanlah saya tak makan ketupat, rendang dan sebagainya tetapi berpada-pada, lebihkan minum air putih kerana ia boleh mengurangkan kalori serta mencernakan kembali pengambilan gula dalam badan.
“Nasihat saya terutama kepada yang sedang mengamalkan diet, lakukan senaman seperti berjalan kaki atau joging terutama selepas seharian menikmati hidangan hari raya,” katanya.
Berkongsi kisah sama, Muhammad Fadzly Yusre, 25, berkata dia nekad menurunkan berat badan kerana sering dipinggirkan oleh rakan ketika berada di sekolah menengah.
“Dahulu berat saya pernah mencecah 95kg dengan ketinggian 157cm, saya rasa malu selain badan tidak produktif ditambah lagi ramai yang hina saya. Walaupun begitu, saya jadikan ia suntikan semangat untuk turunkan berat badan.
“Dalam masa setahun, saya dapat kurangkan 30kg iaitu daripada 95kg kepada 65kg sekarang. Nasihat saya, lakukan diet untuk kesihatan bukannya untuk mendapat pujian orang,” jelasnya.
Muhamad Fadzly berkata dia turut mengamalkan sikap bersederhana dalam pemakanan terutama dalam bulan Syawal ini. – WILAYAHKU