Fokus

Ramai terlepas pandang soal kesihatan

- Diterbit 12 April 2025 12:00 PM MYT

SABRINA SABRE & DIANA AMIR 

AIDILFTRI yang disambut setiap tahun, diraikan dengan penuh kegembiraan oleh ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan yang mengambil peluang berkumpul bersama sambil menikmati pelbagai makanan lazat.

Dalam kegembiraan meraikan lebaran dan rumah terbuka Aidilfitri, ramai terlepas pandang keperluan menjaga kesihatan selepas berjaya berbuat demikian secara konsisten ketika menjalani ibadah puasa Ramadan.

Malah menurut Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway, Sunway City, Dr Lim Sim Yee, ada juga yang sukar menjaga diet dan mengamalkan gaya hidup sihat ketika Aidilfitri dan rumah terbuka dengan makan secara berlebihan kerana tidak mengamalkan ‘Mindful Eating’.

“Makan berlebihan ketika hari raya boleh membawa kepada penambahan berat badan terutama apabila lebih banyak kalori yang diambil daripada yang dibakar.

“Ini boleh mengakibatkan kesan jangka panjang kepada kesihatan seperti peningkatan risiko obesiti dan kondisi kesihatan berkaitan seperti kencing manis dan penyakit jantung.

“Makan terlalu banyak atau mengambil makanan tinggi lemak dan tinggi gula juga boleh membawa kepada masalah penghadaman seperti ketidakcernaan, kembung perut dan sembelit,” katanya.

Justeru, Sim Yee menasihatkan orang ramai untuk memilih makanan yang lebih sihat seperti sajian panggang atau bakar berbanding bergoreng atau hidangan tinggi lemak.

Beliau turut mengingatkan semua supaya memilih makanan dengan protein tanpa lemak, bijirin penuh dan banyak sayur-sayuran, selain mengawal jumlah makanan dengan mengambil jumlah yang kecil bagi setiap sajian dan makan perlahan-lahan untuk mengelakkan makan berlebihan.

Beliau berkata menguruskan pengambilan gula adalah satu cabaran ketika musim perayaan memandangkan banyak sajian, minuman dan pencuci mulut tradisional tinggi kandungan gula dan orang ramai dinasihatkan untuk memilih meminum air biasa atau minuman tanpa gula.

“Orang ramai perlu mengawal dan mengurangkan pengambilan makanan dan minuman yang mempunyai kandungan gula tinggi kerana kebanyakan hidangan yang disajikan dalam tempoh perayaan adalah manis, selain mengamalkan konsep suku-suku separuh.

“Kurangkan makanan seperti biskut, kek, coklat, gula-gula serta minuman manis, lebihkan pengambilan makanan segar, asli dan banyakkan minum air kosong.

“Apa yang penting ialah pastikan makanan yang diambil adalah seimbang, sederhana dan pelbagai seperti konsep suku-suku separuh atau Pinggan Sihat Malaysia yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan supaya makanan yang dipilih adalah seimbang mengikut kuantiti sewajarnya.

“Anda boleh cuba membuat minuman sendiri dengan mencampurkan air dengan buah-buahan dan herba. Buah-buahan segar boleh memenuhi keinginan kepada makanan manis tanpa penambahan gula.

“Selain itu, boleh juga cuba membuat pencuci mulut tradisional versi yang lebih sihat menggunakan pemanis semula jadi seperti kurma, madu dan sirap mapel, bukannya gula putih. Kurangkan amaun gula dalam resipi dan tambah lebih banyak bahan berserat tinggi seperti bijirin penuh atau buah,” katanya.

Susulan kanak-kanak turut cenderung mengambil biskut dan snek perayaan, minum air berasaskan sirap dan bergas ketika menziarahi sanak saudara, Sim Yee berkata ibu bapa patut menjadi contoh yang baik dengan menjadi suri teladan kepada amalan pemakanan sihat dan membuat pilihan sihat dalam pengambilan makanan mereka.

“Ibu bapa sepatutnya meletakkan had pada berapa banyak makanan manis dan berkalori tinggi yang boleh diambil anak mereka semasa tempoh perayaan dan menggalakkan anak-anak berkongsi makanan dengan keluarga dan kawan-kawan daripada menikmatinya sendiri.

“Di samping itu, galakkan mereka untuk melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki atau menunggang basikal. Ini boleh membantu membakar kalori berlebihan dan tenaga serta mempromosi gaya hidup sihat,” katanya.

PETUA SEDIA MAKANAN SIHAT

DALAM masa sama, beliau turut berkongsi petua untuk menyediakan makanan tradisional yang lebih sihat dan memilih makanan lebih sihat antaranya sajian rendang menggunakan potongan daging kurang lemak seperti dada ayam atau daging tanpa lemak dan kurangkan
santan.

“Orang ramai juga boleh memasukkan sayuran seperti cili belanga dan brokoli untuk meningkatkan kandungan nutrien.

“Bagi ayam masak merah, orang ramai boleh menggunakan dada ayam tanpa kulit berbanding paha yang lebih tinggi kandungan lemak dan kurangkan minyak.

“Masukkan lebih banyak sayur-sayuran seperti lobak dan bayam untuk meningkatkan kandungan zat dan pilih pengganti yang lebih sihat kepada garam dan gula dengan herba dan rempah untuk memberi rasa kepada sajian,” katanya.

Sim Yee berkata kuah kacang boleh dibuat daripada mentega kacang semula jadi daripada mentega kacang diproses, yang mungkin mengandungi garam dan gula tambahan dan mengurangkan kandungan gula serta memasukkan bahan tinggi zat seperti halia dan bawang putih untuk menjadikannya lebih sihat.

“Sayur lodeh selalunya dibuat daripada pelbagai jenis sayur termasuk kekacang, terung dan kubis. Ia adalah hidangan rendah kalori, kaya nutrien, tinggi serat dan antioksidan. Untuk menjadikan ia lebih sihat, kurangkan santan atau pilih versi rendah lemak.

“Bagi acar, iaitu sejenis sajian sayur jeruk yang biasanya dihidangkan sebagai sajian sampingan, ia rendah kalori, berserat tinggi dan kaya vitamin serta mineral. Untuk menjadikan acar lebih sihat, kurangkan penggunaan garam dan gula.

“Ketupat yang dibuat daripada beras pulut pula membekalkan tenaga untuk tubuh. Sajikan ia bersama makanan berasaskan sayur untuk menjadikan ia lebih sihat, sementara bagi lemang, gunakan santan rendah lemak,” katanya.

Beliau berkata Aidilfitri dirai dengan penuh ceria dan gembira, oleh itu, adalah penting untuk masyarakat mengamalkan gaya pemakanan dan hidup yang sihat supaya tidak menjejaskan kesihatan semasa dan selepas sambutan perayaan, bukan hanya terhadap diri sendiri malah orang lain
juga.

“Selain mendisiplinkan diri untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat, kita juga boleh menggalakkan atau sediakan makanan dan minuman sihat atau seimbang kepada tetamu yang datang.

“Makan berdasarkan keperluan dan jangan terlalu mengikut nafsu, sentiasa ingat bahawa seimbang, sederhana dan pelbagai ialah kunci utama kepada kesihatan jangka masa panjang‚” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas