PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mengorak langkah besar dalam reformasi politik apabila menjadi parti pertama di negara ini melaksanakan pemilihan berasaskan teknologi blockchain, melibatkan seramai 296,403 anggota yang layak mengundi.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, fasa pengundian bagi Pemilihan Cabang 2025 akan berlangsung bermula 11 hingga 20 April secara berperingkat mengikut negeri.
“Daripada jumlah keseluruhan pengundi, seramai 8,040 anggota memilih untuk mengundi secara fizikal manakala selebihnya akan melaksanakan tanggungjawab melalui aplikasi ADIL. Ini membuktikan kesediaan majoriti anggota untuk beralih kepada sistem digital yang lebih efisien dan telus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Zaliha turut memaklumkan sistem pengundian kali ini menggunakan teknologi blockchain sebagai tunjang keselamatan dan integriti sekali gus menjadikan proses pengesahan identiti dalam talian lebih selamat dan tidak mudah diganggu.
“Pengundi atas talian akan melalui proses pengesahan dua faktor menggunakan OTP dan pengecaman wajah. Bagi pengundi fizikal pula, mereka perlu membawa kad pengenalan dan akan melalui pengesahan biometrik cap jari,” jelasnya.
Beliau berkata, semua pusat pengundian fizikal akan dikendalikan oleh syarikat pengurusan acara profesional yang dilantik bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses pengundian.
“Bagi cabang yang mempunyai jumlah pengundi fizikal kecil, kita akan gabungkan pusat pengundian secara strategik untuk menjimatkan sumber dan tenaga kerja,” tambahnya.
Setakat tarikh tutup pencalonan, seramai 16,878 calon disahkan bertanding di 222 cabang. Bagaimanapun, 31 cabang menyaksikan tiada pertandingan di peringkat Jawatankuasa Cabang, mencerminkan kestabilan dalaman di beberapa kawasan.
Zaliha turut menzahirkan penghargaan kepada semua calon dan penyokong yang berkempen secara tertib dan profesional.
“Tempoh kempen akan tamat pada 19 April jam 11.59 malam. Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa sebarang bentuk kempen selepas itu, termasuk pada hari pengundian, tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau menyeru semua anggota agar keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab demokrasi dengan penuh integriti.
Maklumat lanjut mengenai Pemilihan PKR 2025 boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi http://pemilihan.keadilan.org serta saluran media sosial rasmi PKR.-WILAYAHKU