Berita

Xi Jinping lawat Malaysia 15–17 April, pacu kerjasama dagang dan strategik serantau

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping di Beijing, 7 November, 2024. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 9 April 2025 6:30 PM MYT

PRESIDEN China, Xi Jinping dijadual mengadakan lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari bermula 15 hingga 17 April ini sebagai sebahagian daripada siri lawatan ke Asia Tenggara, yang disifatkan bakal memacu hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.

Perkara itu disahkan Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Ahmad Fahmi Fadzil dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Menurut Fahmi, kunjungan itu bukan sahaja dinanti-nantikan malah mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama strategik, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

“Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan sentiasa mengalu-alukan peluang untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan rakan dagang utama termasuk China. Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha ke arah hubungan perdagangan yang lebih erat,” katanya.

Maklumat terperinci berkaitan atur cara lawatan Presiden Xi akan diumumkan oleh Kementerian Luar dalam masa terdekat, sementara agenda rasmi perbincangan akan dikendalikan oleh Wisma Putra.

Difahamkan, lawatan ini merupakan lanjutan daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada November tahun lalu, di mana kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan produktif di Beijing.

Kali terakhir Presiden Xi melawat Malaysia adalah pada Oktober 2013, juga bagi lawatan negara. Kunjungan terbaharu ini dilihat signifikan kerana ia bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang terjalin sejak 1974.

South China Morning Post dalam laporan terbarunya memetik sumber diplomatik yang menyatakan lawatan tiga hari itu “pasti baik” untuk memperkukuh hubungan dua hala, malah turut menyatakan Xi bakal melawat dua lagi negara Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada siri lawatan tersebut.

Lawatan Xi ke Malaysia hadir dalam konteks global yang mencabar, terutama ketika ketegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat masih berlarutan sejak era pentadbiran Donald Trump, termasuk pengenaan tarif tinggi oleh kedua-dua kuasa besar itu selain China tidak berdiam diri dan menyusun strategi berdepan dengan Amerika.

Dalam senario tersebut, Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang strategik China, dengan jumlah dagangan dua hala mencatatkan rekod tertinggi tahun lalu.

Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, peranan Malaysia semakin diperhatikan dalam membentuk keseimbangan geopolitik dan ekonomi serantau, menjadikan lawatan Xi bukan sekadar diplomasi protokol, tetapi langkah konkrit ke arah kestabilan dan kerjasama serantau yang lebih erat.

Lawatan bersejarah ini dijangka membawa dimensi baharu dalam hubungan dua hala, termasuk dalam bidang teknologi, pendidikan, tenaga bersih dan keselamatan makanan, sekali gus menzahirkan peranan Malaysia sebagai jambatan penting antara Timur dan Barat dalam era globalisasi baharu.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas