Berita

PM: Akta SPK akan dikaji semula, kerajaan komited perkasa pelantikan hakim

- Diterbit 9 April 2025 6:15 PM MYT

KERAJAAN Madani akan mempertahankan kesahan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) di Mahkamah Tinggi susulan cabaran kehakiman yang difailkan terhadap kesahannya, namun pada masa sama komited unutk meneliti semula keseluruhan kerangka pelantikan kehakiman secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menghormati sepenuhnya hak individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui proses kehakiman, selaras dengan semangat demokrasi berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Seperti mana-mana proses mahkamah, kerajaan memberi jaminan bahawa ia akan berlangsung tanpa sebarang campur tangan atau prejudis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anwar berkata, persoalan mengenai struktur dan peranan SPK dalam pelantikan kehakiman telah lama diperdebatkan oleh pelbagai pihak, termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat sivil (NGO).

Katanya, sebarang penelitian semula terhadap SPK perlu dilakukan secara menyeluruh demi memastikan proses pelantikan hakim benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan dan kebebasan institusi kehakiman, tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan MADANI menzahirkan komitmen untuk melaksanakan reformasi institusi secara inklusif melalui rundingan dengan semua pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan NGO.

“Sebarang reformasi yang akan dilaksanakan perlu berpaksikan doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata cadangan untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.

“Perubahan sebegini, pada pandangan saya, akan mengukuhkan lagi ketelusan dan keadilan dalam proses pemilihan serta memastikan pelantikan hakim benar-benar berasaskan merit dan bebas daripada sebarang persepsi pengaruh politik,” katanya dalam ucapan di Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta.

Beliau menyifatkan cadangan pindaan terhadap Akta SPK yang bertujuan mengehadkan kuasa eksekutif dalam pelantikan kehakiman sebagai langkah penting ke arah memperkukuh prinsip ketelusan dan kebebasan institusi kehakiman.

“Struktur semasa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman wajar dikaji semula agar pelantikan hakim tidak terkesan oleh sebarang pengaruh politik atau eksekutif, sejajar dengan prinsip pengasingan kuasa dalam Perlembagaan,” katanya.

Kenyataan beliau dilihat seiring dengan agenda pembaharuan institusi yang ditekankan Kerajaan MADANI bagi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas