Berita

Tarian singa meraikan kehadiran pelajar kembali ke sekolah

DATUK Edwin Khoo penaja tarian singa bersama Pengetua SMK Taman Jasmin 2, Massita Mohamed Sin.
- Diterbit 9 April 2025 12:27 PM MYT

TARIAN singa, yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina, kini bukan sekadar hiburan tetapi turut menjadi platform pendidikan dalam memupuk perpaduan dan penghargaan terhadap warisan budaya pelbagai kaum.

Sempena pembukaan sesi baharu persekolahan, usahawan Datuk Edwin Khoo telah membawa sekumpulan penari tarian singa ke SMK Taman Jasmin 2, Kajang, Selangor, sebagai usaha memperkenalkan elemen budaya masyarakat Cina dalam kalangan pelajar sekolah.

DATUK Edwin Khoo penaja tarian singa bersama Pengetua SMK Taman Jasmin 2, Massita Mohamed Sin.

Menurut Edwin, beliau teruja untuk memperkenalkan budaya ini kerana sekolah merupakan tempat terbaik untuk memupuk pemahaman awal tentang kepelbagaian adat dan tradisi.

“Selain memperkenalkan budaya pelbagai kaum, persembahan ini bertujuan memupuk nilai hormat menghormati dan perpaduan dalam kalangan pelajar. Ia bukan sekadar hiburan tetapi satu bentuk pendidikan yang mengajar mereka menghargai keunikan warisan budaya negara,” katanya.

Sebagai penaja utama acara, beliau percaya bahawa program seperti ini dapat membantu pelajar memahami dan menghayati nilai-nilai murni seperti toleransi, keharmonian, serta adab dalam berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat (Sektor Perancangan), Hasnul Hadi Ayub, serta wakil Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Mohd Sharhan Ismail dan Izzat Norizan. Kehadiran ibu bapa dan para pelajar turut menyerikan suasana dengan penuh keterujaan menyaksikan persembahan tersebut.

Pengetua SMK Taman Jasmin 2, Massita Mohamed Sin dalam ucapannya menyatakan bahawa pihak sekolah amat mengalu-alukan inisiatif sebegini dalam usaha menyemarakkan semangat kembali ke sekolah serta mengeratkan hubungan antara pelajar, ibu bapa dan guru.

“Kami berharap persembahan tarian singa ini dapat mengubah persepsi bahawa adab dan budi bahasa semakin terhakis dalam kalangan generasi muda.

“Ia bukan sekadar hiburan tetapi juga satu mesej penting tentang kepentingan menghormati budaya serta menanamkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha untuk membentuk sahsiah pelajar memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak, termasuk sekolah, ibu bapa, dan masyarakat.

 

Membudayakan sikap penyayang dan beradab di sekolah

Sebagai langkah memperkukuh adab dan budi bahasa dalam kalangan pelajar, pihak sekolah kembali memperkasakan amalan 3S – Senyum, Sapa dan Salam.

“Jika sebelum ini guru yang menyapa murid terlebih dahulu, kini kita ingin melihat murid-murid pula mengambil inisiatif untuk menyapa guru-guru mereka. Nilai kasih sayang, sikap mesra, berbudi bahasa, saling menghormati dan prihatin perlu diamalkan dalam setiap interaksi,” tambahnya.

Sebagai dorongan, murid-murid yang mengamalkan 3S akan menerima cenderahati daripada pihak sekolah sebagai tanda penghargaan.

Barisan pentadbir dan kaunselor juga akan menyambut pelajar seawal jam 6.30 pagi di pintu pagar sekolah, sebagai satu pencetus semangat bagi mereka untuk hadir ke sekolah dengan perasaan yang lebih ceria dan bermotivasi.

Melalui usaha berterusan sebegini, diharapkan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah menjadi individu yang berakhlak mulia dan dihormati dalam masyarakat. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas