Berita

UTAR lokasi pertama Program Rakan Muda Turun Kampus 2025

- Diterbit 9 April 2025 11:30 AM MYT

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, hari ini menghadiri pelancaran Program Rakan Muda Turun Kampus 2025 yang diadakan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampus Bandar Sungai Long sebagai lokasi pertama siri jelajah program tersebut.

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu merupakan satu platform khusus bagi penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) menyuarakan pandangan, idea dan aspirasi berkaitan pembangunan belia dan sukan secara terus kepada kepimpinan tertinggi kementerian.

Menurut Unit Komunikasi Korporat KBS, pelaksanaan program ini berperanan penting dalam memperkukuh keterlibatan belia secara langsung dengan dasar dan inisiatif kerajaan.

“Program ini bertujuan menyampaikan maklumat terkini mengenai dasar, inisiatif serta tindakan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam bidang belia dan sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Selain itu, ia memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan terhadap isu-isu semasa dan menyantuni belia di kampus sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan pelaksanaan Gaya Hidup Rakan Demokrasi.” katanya dalam kenyataan hari ini.

KBS turut memaklumkan bahawa sebanyak 10 siri Program Rakan Muda Turun Kampus akan dilaksanakan sepanjang tahun ini dengan penyertaan dijangka mencecah 5,000 pelajar IPT di seluruh negara.

“Program yang dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) itu turut menampilkan aktiviti-aktiviti interaktif yang memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah, kepimpinan dan jaringan sosial dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Sepanjang program di UTAR, Hannah Yeoh turut berkesempatan beramah mesra dengan para pelajar dari pelbagai fakulti serta meninjau fasiliti di kampus Sungai Long.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Presiden UTAR, Ir. Prof Datuk Dr Ewe Hong Tat; Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah JBSN, Azura Abidin.

KBS yakin program seumpama ini dapat memperkukuh identiti dan perpaduan pelajar IPT, merangsang kerjasama rentas institusi dan membina ekosistem belia yang lebih proaktif dan inklusif.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat KBS di talian 03-8871 3100 atau e-mel ke [email protected]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas