Berita

Lebih 6,000 aduan kesalahan lalu lintas memlalui aplikasi MyJPJ diterima

- Diterbit 9 April 2025 10:30 AM MYT

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menerima 6,687 aduan melalui Aplikasi MyJPJ berkaitan kesalahan lalu lintas sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA 2025) bermula dari 24 Mac 2025 – 8 April 2025 di seluruh negara.

Berdasarkan data tersebut, statistik menunjukkan tiga kesalahan utama yang tertinggi membabitkan memotong barisan (1,766), memandu di lorong kecemasan (1,625) dan gagal mematuhi lampu isyarat merah (843).

Melalui Ops HRA 2025, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 61,317 notis atas pelbagai kesalahan gagal mematuhi peraturan telah ditetapkan di bawah Akta 333 hasil daripada 287,802 kenderaan yang diperiksa.

Daripada jumlah itu 511 kenderaan disita membabitkan 353 kawasan hotspot di seluruh negara.

Bagi penguatkuasaan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan (Road-Ban) yang telah dikuatkuasakan selama empat hari iaitu sebelum dan selepas perayaan, JPJ telah mengambil tindakan ke atas 163 kenderaan barangan dan 124 kenderaan lagi telah disita.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas