Berita

MARA akan siasat kejadian buli di MRSM

- Diterbit 7 April 2025 4:20 PM MYT

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan menjalankan siasatan segera mengenai dakwaan berlakunya aktiviti buli di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seperti tular di media sosial.

Demikian ditegaskan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan buli tanpa mengira siapa pelakunya.

“Saya sudah minta pegawai saya siasat segera jika benar peristiwa buli itu berlaku di MRSM.

“Jika benar pelajar-pelajar ini adalah pelajar MRSM, tiada kompromi lagi, tindakan tegas pasti akan diambil,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas satu video yang tular di media sosial berhubung kes buli yang didakwa berlaku di sebuah MRSM.

Beliau turut mengingatkan semua bahawa MARA tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang cuba membudayakan buli dalam apa jua bentuk di MRSM.

“MRSM sepatutnya menjadi medan melahirkan pemimpin masa hadapan negara.

“Sejak hari pertama saya diberikan amanah untuk menjaga MARA, saya sudah tegaskan ‘you touch, you go’,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas