DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan mengeluarkan sebarang ulasan lanjut berkaitan status tiga anggotanya yang direhatkan susulan insiden melibatkan peniaga belon, Muhammad Zaiumuddin Azlan yang dikenalli sebagai Abang Belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) pada 28 Mac lalu.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan dalaman berhubung insiden berkenaan kini berada di peringkat akhir.
“DBKL mengambil pendirian untuk tidak memberikan sebarang komen lanjut buat masa ini memandangkan perkara ini turut disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Langkah ini diambil bagi menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lancar, telus serta tanpa gangguan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pendekatan berkenaan juga sejajar dengan komitmen DBKL dalam memastikan setiap siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, adil dan berlandaskan prinsip integriti.
“DBKL juga sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan ini,” katanya.
Terdahulu, seorang peniaga belon tidak berlesen cedera apabila didakwa dikasari penguatkuasa DBKL bagi membanteras aktiviti perniagaan tanpa lesen sah di Jalan TAR baru-baru ini. -WILAYAHKU