SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Kerajaan Negeri Selangor agar membatalkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 peringkat Negeri Selangor yang dijadualkan pada hari esok.
Keputusan tersebut bagi menghormati mangsa-mangsa dan keluarga yang sedang berdepan musibah susulan insiden di Putra Heights.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, Baginda menitahkan agar persiapan yang telah pun dibuat untuk majlis berkenaan khususnya makanan-makanan, disalurkan kepada pusat-pusat penempatan sementara (PPS), petugas keselamatan, anggota bomba, para sukarelawan dan NGO, rumah anak-anak yatim dan sekolah-sekolah yang terletak berdekatan dengan lokasi kejadian.
“Baginda turut menyarankan agar semua mangsa dan petugas diraikan dengan jamuan hari raya di PPS daripada makanan yg disalurkan ke PPS ini, semoga ianya dapat memberi sedikit keceriaan kepada mangsa dan para petugas yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan mereka.
“Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin turut mendoakan agar urusan semua pihak terlibat dipermudahkan dan semua mangsa tabah menghadapi dugaan ini,” ujar kenyataan itu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah bersetuju dengan titah pembatalan oleh Baginda. -WILAYAHKU