Berita

PM arah koordinasi bantuan insiden kebakaran Putra Heights diselaraskan dengan MB Selangor dan Petronas

- Diterbit 4 April 2025 7:15 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar semua bentuk bantuan dan usaha koordinasi berkaitan insiden kebakaran di Putra Heights diselaraskan secara langsung dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan pihak Petronas yang diketuai Presidennya merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.

Menurut Anwar, langkah itu penting bagi memastikan segala gerak kerja pengurusan bantuan di lapangan dapat dilaksanakan secara teratur, menyeluruh dan berkesan.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor industri amat penting dalam menangani situasi ini secara segera dan menyeluruh.

“Saya akan terus memantau perkembangan semasa dan memberi sokongan serta dukungan penuh terhadap segala usaha pemulihan dan keselamatan yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, satu insiden kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan Putra Heights membabitkan fasiliti Petronas yang sedang dalam pemantauan pihak berkuasa serta agensi berkaitan. Usaha bantuan kini sedang giat dijalankan secara bersepadu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas