Berita

Dr Zaliha lawat mangsa kebakaran Putra Heights

- Diterbit 4 April 2025 4:15 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, hari ini melawat mangsa tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Dalam lawatan tersebut, Zaliha menzahirkan rasa simpati terhadap 14 mangsa yang masih dirawat akibat luka bakar dan masalah pernafasan selepas terhidu asap tebal dalam insiden berkenaan.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya berharap agar semua mangsa diberikan kesembuhan segera dan tabah menghadapi ujian ini.

“Sokongan daripada masyarakat amat penting dalam saat-saat sukar seperti ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi sebagai tanda keprihatinan dan usaha meringankan beban mereka yang terkesan.

Selain itu, beliau menggesa pihak berkaitan agar memastikan kebajikan mangsa terbela serta menyalurkan bantuan yang diperlukan.

Tragedi kebakaran di Putra Heights baru-baru ini telah menyebabkan kerosakan teruk kepada beberapa kediaman, mengakibatkan ramai kehilangan tempat tinggal dan mengalami kecederaan. Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas