Berita

Lebih 2 juta kenderaan dijangka guna rangkaian PLUS mulai esok

- Diterbit 3 April 2025 3:36 PM MYT

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih 2 juta kenderaan sehari akan berada di rangkaian lebuh rayanya untuk tempoh tiga hari bermula esok berikutan orang ramai pulang ke ibu kota selepas cuti Aidilfitri.

Menurut PLUS, perjalanan pulang dijangka mencapai puncaknya pada 4, 5 dan 6 April.

“Berikutan lonjakan trafik itu, PLUS menyarankan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan mereka dengan merujuk jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA di Aplikasi PLUS.

“Jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA direka untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan lebih efisien, selain memastikan aliran trafik yang lebih seimbang, sekali gus memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan selesa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai insentif, PLUS menawarkan ganjaran keseluruhan hingga RM20,000 kepada pengguna lebuh raya yang mematuhi MyPLUS-TTA melalui kempen Ikuti MyPLUS-TTA Sempena Aidilfitri di Aplikasi PLUS.

“Enam pemenang hadiah utama akan membawa pulang baucar hotel bernilai RM2,500 setiap satu manakala 50 pemenang hadiah saguhati akan menerima kredit Touch ’n Go eWallet bernilai RM100 setiap seorang.

“Untuk menyertai kempen tersebut, pengguna hanya perlu mendaftar dan mematuhi jadual perjalanan yang disarankan oleh MyPLUS-TTA untuk perjalanan di lebuh raya kendalian PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sehingga 6 April ini.

“Dengan mematuhi MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya dijangka dapat menikmati perjalanan yang lebih lancar sepanjang musim perayaan,” katanya.

Di samping itu, PLUS menyatakan komitmennya untuk terus meningkatkan pengalaman perjalanan pengguna lebuh raya dengan memperbaharui strategi pengurusan trafik sepanjang tempoh cuti perayaan utama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas