MANGSA kebakaran paip gas di Putra Heights boleh mendapatkan semula dokumen penting kenderaan mereka tanpa perlu membuat laporan polis, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Menurut beliau, langkah khas ini bertujuan memudahkan urusan mangsa untuk mendapatkan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM), dan Vehicle Ownership Certificate (VOC) yang diperlukan bagi tuntutan insurans.
“Dalam prosedur biasa, cetakan semula dokumen ini memerlukan laporan polis. Namun, untuk kes ini, kita permudahkan.
“Mangsa hanya perlu memberikan nama dan nombor kad pengenalan untuk mendapatkan dokumen secara percuma,” katanya kepada media selepas melawat mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
Beliau memberitahu, pihaknya turut mengusahakan penyediaan kenderaan sementara bagi mangsa yang kehilangan kenderaan dalam kebakaran tersebut.
“Setakat ini, sebanyak 80 buah kenderaan telah diperuntukkan dengan sokongan syarikat automotif dan sektor swasta.
“Sebelum ini, sebuah syarikat automotif telah menawarkan 50 kenderaan untuk kegunaan mangsa, dan kini tambahan 30 lagi kenderaan diperoleh daripada syarikat swasta.
“Kami masih berhubung dengan beberapa syarikat lain untuk menambah jumlah kenderaan yang boleh digunakan sementara,” tambahnya.
Dalam kejadian tersebut, sebanyak 70 motosikal dikenal pasti mengalami kerosakan atau musnah sepenuhnya akibat kebakaran.
Anthony Loke turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha mendapatkan tajaan motosikal bagi membantu pemilik yang terjejas.
“Kita sedang mencari tajaan motosikal untuk mangsa yang kehilangan kenderaan mereka. Saya akan membuat pengumuman rasmi apabila ada perkembangan,” katanya.