Berita

DBKL sita lapan perniagaan tanpa lesen warga asing di Pusat Bandar

- Diterbit 3 April 2025 10:30 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan Tindakan Khas Penjaja Warga Asing di beberapa lokasi sekitar pusat bandar, semalam yang menyaksikan lapan aktiviti perniagaan tanpa lesen disita.

Operasi itu membabitkan kawasan di Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Silang dan Jalan Leboh Pudu, dengan kebanyakan perniagaan berfokus kepada penjualan makanan dan minuman.

Menurut DBKL, tindakan itu diambil mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, yang menetapkan hanya individu dengan lesen sah dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan di ibu negara.

“Semua barangan sitaan dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pada masa sama, pemantauan secara statik turut dilakukan anggota penguat kuasa DBKL bagi memastikan tiada sebarang aktiviti jualan tanpa lesen, khususnya membabitkan bukan warganegara.

DBKL menegaskan pemantauan berterusan akan diperhebat di lokasi tumpuan bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kesejahteraan dan keharmonian warga kota.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penjajaan tanpa lesen oleh warga asing digalakkan menyalurkan aduan melalui pautan rasmi DBKL: https://adukl.dbkl.gov.my.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas