LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengesahkan tiada aktiviti pembinaan dijalankan ketika letupan saluran gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Pengarah CIDB Selangor, Heryanti Hilmi berkata, pasukan penguatkuasaan CIDB telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati tiada kerja pembinaan berlangsung di tapak berkenaan pada hari insiden berlaku.
“Hasil siasatan menunjukkan tapak pembinaan 10 unit kedai pejabat dua tingkat yang dikaitkan dengan letupan itu sebenarnya terletak 30 meter dari lokasi saluran paip gas yang meletup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, laporan yang diperoleh daripada kontraktor mendapati kerja pembentukan hanya dilakukan pada 30 Mac 2025, manakala kerja pembersihan (housekeeping) dijalankan pada 31 Mac 2025.
“Tiada sebarang kerja pembinaan yang berlaku pada 1 April 2025, semasa letupan gas berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Heryanti memaklumkan bahawa Penolong Pengurus Projek yang bertanggungjawab telah menerima panggilan daripada jurutera projek pada jam 8.32 pagi berhubung insiden letupan dan kebakaran berdekatan tapak pembinaan tersebut.
Ketika kejadian, seorang pengawal keselamatan tempatan dan seorang pekerja asing dilaporkan berada di tapak projek dan mengalami kecederaan akibat letupan. Kedua-dua mereka telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
CIDB kini sedang menunggu dokumen sokongan tambahan bagi menentukan klasifikasi insiden mengikut pematuhan Akta 520 sebelum tindakan lanjut diambil.-WILAYAHKU