POLIS akan mengenal pasti dan memanggil kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembinaan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas yang berlaku pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya akan merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menentukan sama ada kontraktor terlibat mempunyai permit kerja atau sebaliknya.
“Kita akan kenal pasti kontraktor dan akan memanggil mereka untuk diambil keterangan. Siasatan masih dijalankan, termasuk sama ada mereka mendapat kebenaran atau tidak,” katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa keterangan telah diambil daripada mangsa yang cedera di hospital, dan langkah seterusnya ialah mengambil keterangan daripada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Insiden ini mendapat perhatian susulan dakwaan yang tersebar mengenai punca kejadian letupan dan kebakaran di lokasi berkenaan. Pihak polis kini giat menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.-WILAYAHKU