DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus mempertingkatkan tindakan terhadap penjaja warga asing tanpa lesen melalui operasi khas yang dijalankan hari ini di beberapa lokasi tumpuan ibu kota.
Antara kawasan yang menjadi sasaran dalam operasi ini termasuk Jalan Petaling, Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Leboh Pudu, Jalan P. Ramlee, Masjid Jamek, kawasan hadapan KLCC serta pusat membeli-belah Pavilion Bukit Bintang.
Dalam serbuan tersebut, sebanyak 11 premis perniagaan tanpa lesen telah dikenakan tindakan sita serta-merta. Perniagaan yang terlibat melibatkan jualan pakaian, makanan, dan minuman yang dikendalikan oleh warga asing tanpa kelulusan sah.
DBKL dalam hantaran di facebook memaklumkan tindakan itu dibuat mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, dengan semua barangan perniagaan yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
Selain tindakan penyitaan, pemantauan secara statik turut dilaksanakan oleh anggota penguat kuasa DBKL dengan kehadiran wakil daripada Jabatan Imigresen Malaysia bagi memastikan tiada aktiviti penjajaan haram dilakukan, khususnya oleh bukan warganegara.
DBKL menegaskan bahawa operasi seperti ini akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan kesejahteraan warga kota terpelihara. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penjajaan tanpa lesen boleh menyalurkan aduan menerusi pautan rasmi DBKL di https://adukl.dbkl.gov.my.-WILAYAHKU