Berita

Mohamad Sabu mahu siasatan telus

- Diterbit 2 April 2025 10:30 AM MYT

TRAGEDI kebakaran paip gas Petronas di Putra Heights, Subang Jaya semalam mengakibatkan lebih 100 individu cedera, termasuk kanak-kanak, selain ratusan rumah dan kenderaan mengalami kerosakan teruk.

Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam satu kenyataan hari ini, melahirkan rasa dukacita terhadap mangsa terlibat dan menggesa tindakan segera bagi membantu mereka yang terkesan.

“Saya telah mengarahkan staf Parlimen Kota Raja untuk turun padang mengumpul maklumat serta bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi memastikan bantuan awal dapat disalurkan kepada mangsa,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut menyambut baik komitmen Perdana Menteri yang memberi jaminan bahawa infrastruktur yang rosak akan dipulihkan sepenuhnya selain memastikan kebajikan mangsa terbela.

Mohamad Sabu menegaskan bahawa siasatan menyeluruh perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta memastikan langkah keselamatan diperketat bagi mengelakkan tragedi serupa berulang.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan bomba, polis, petugas perubatan serta pihak berkuasa tempatan yang bertindak pantas mengawal keadaan daripada menjadi lebih buruk,” tambahnya.

Beliau menyeru penduduk agar bertenang, mematuhi arahan keselamatan dan menjaga kebajikan jiran tetangga dalam menghadapi situasi mencabar ini.

“Semoga semua mangsa diberi kesembuhan segera dan kita terus kuat menghadapi ujian ini,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas