DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita sembilan premis perniagaan milik warga asing yang beroperasi tanpa lesen dalam satu operasi khas di beberapa lokasi panas ibu kota, semalam.
Operasi Tindakan Khas Penjaja Warga Asing yang dijalankan di Jalan Silang, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Khoo Teok Ee itu menyasarkan aktiviti perniagaan haram yang dikendalikan warga asing, terutamanya dalam sektor makanan dan minuman.
Menurut kenyataan DBKL, tindakan tegas diambil susulan aduan awam serta pemantauan berterusan pihak berkuasa terhadap kegiatan penjajaan tanpa lesen yang mengganggu ketenteraman dan kebersihan bandar raya.
“Serbuan ini mendapati sembilan premis beroperasi secara haram dengan menjual pelbagai jenis makanan dan minuman tanpa kebenaran yang sah. Semua barangan perniagaan disita serta-merta mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kesemua barangan perniagaan yang disita dihantar ke stor sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk dokumentasi dan tindakan lanjut.
DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan secara agresif bagi membanteras aktiviti perniagaan tanpa lesen yang melibatkan warga asing. Orang ramai digesa untuk melaporkan sebarang aktiviti penjajaan haram menerusi saluran rasmi DBKL di https://adukl.dbkl.gov.my.-WILAYAHKU