SERAMAI 49 mangsa daripada 17 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights susulan kebakaran saluran paip gas di kawasan berkenaan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden itu dikategorikan sebagai Bencana Tahap 1, sekali gus memerlukan tindakan segera bagi memastikan keselamatan mangsa.
“Mangsa yang ditempatkan di PPS diberikan kemudahan makanan, set kebersihan diri, kelengkapan tidur serta minuman dan kudapan bagi memastikan keselesaan mereka sepanjang tempoh pemindahan,” katanya hari ini.
Setakat jam 1.00 tengah hari, kesemua mangsa sudah dipindahkan ke PPS yang diaktifkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor bagi menangani situasi berkenaan.
KPWKM turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa yang ditempatkan di PPS dalam keadaan terjamin.
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan kejadian dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
Mangsa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Talian Kasih KPWKM yang beroperasi 24 jam di talian bebas tol 15999, menerusi WhatsApp di 019-26 15999 atau menggunakan aplikasi mudah alih Talian Kasih.
KPWKM menegaskan bahawa perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.-WILAYAHKU