Berita

Lima Individu dirakam keterangan kekerasan terhadap Abang Belon

- Diterbit 30 Mac 2025 1:00 PM MYT

POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang peniaga belon dikasari pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu insiden baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata setakat ini, pihaknya telah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, lima individu telah memberi keterangan. Tiada tangkapan dibuat kerana kita hanya menjalankan proses rakaman keterangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan kes berkenaan masih berjalan dan pihaknya sedang melengkapkan keterangan saksi, termasuk saksi bebas serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Sulizmie berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau mengesahkan satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga peniaga belon terbabit berhubung insiden berkenaan.

Insiden itu menjadi tular selepas rakaman video memaparkan peniaga belon berkenaan didakwa dikasari penguatkuasa DBKL ketika menjalankan operasi di ibu kota. Kejadian itu mencetuskan reaksi pelbagai pihak, termasuk masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO), yang menyeru agar penguatkuasaan dilakukan secara lebih berhemah.

Mengulas mengenai spekulasi yang semakin berleluasa di media sosial, Sulizmie menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian melulu dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.

“Kami menjalankan siasatan secara telus dan adil. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas