Berita

PKR Wilayah Persekutuan mahu dapatkan pekerjaan sesuai untuk ‘Abang Belon’

- Diterbit 30 Mac 2025 4:00 PM MYT

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan berusaha membantu peniaga belon, Muhamad Za’imuddin Azlan atau ‘Abang Belon’, mendapatkan pekerjaan yang lebih stabil selepas insiden membabitkan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Bidin, berkata pihaknya komited untuk membantu Za’imuddin memperoleh sumber pendapatan yang sah dan berlesen agar dapat meneruskan kelangsungan hidup selepas pulih.

“Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh peniaga kecil seperti beliau. Oleh itu, kami akan berusaha mencari jalan agar beliau dapat berniaga secara sah, mengikut aturan pendaftaran dan perlesenan perniagaan yang betul,” katanya dalam kenyataan selepas menziarahi Za’imuddin di Hospital Serdang, hari ini.

Dalam kunjungan itu, Azman, yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, menyampaikan salam takziah dan simpati daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Za’imuddin dan keluarganya.

“YAB Perdana Menteri menzahirkan harapan agar beliau segera sembuh dan diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini. Kami juga menyerahkan sedikit sumbangan sebagai tanda keprihatinan untuk membantu meringankan beban beliau dalam tempoh pemulihan,” katanya.

Azman turut menyeru pihak berkuasa tempatan agar mengambil langkah proaktif dalam memudahkan proses permohonan lesen perniagaan untuk peniaga kecil seperti Za’imuddin.

“Setiap individu berhak mencari rezeki dalam keadaan yang selamat dan teratur. Oleh itu, kami berharap DBKL dan pihak berkuasa lain dapat meneliti mekanisme yang lebih mesra rakyat dalam membantu golongan peniaga kecil, tanpa menjejaskan ketenteraman awam dan pematuhan peraturan sedia ada,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa pihak berkuasa menangani isu penguatkuasaan dengan penuh hemah, profesionalisme dan belas ihsan agar insiden seumpama ini tidak berulang.

“Kami percaya siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berwajib akan dilakukan dengan penuh ketelusan dan keadilan.

“KEADILAN Wilayah Persekutuan akan terus memantau perkembangan kes ini bagi memastikan keadilan ditegakkan demi kepentingan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Insiden membabitkan Za’imuddin mencetuskan kontroversi selepas video kejadian itu tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, mengesahkan bahawa pegawai DBKL yang terlibat telah direhatkan sementara, manakala kos rawatan Za’imuddin di hospital akan ditanggung oleh DBKL.

Siasatan kes itu sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, dan setakat ini, lima individu telah dipanggil untuk memberi keterangan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas