Berita

Qobin, Amar Baharin kayuh basikal ke Mekah 27 April

- Diterbit 30 Mac 2025 1:57 PM MYT

PENJELAJAH Grand Slam Negara, Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin dan pelakon, Amar Baharin akan memulakan kembara berbasikal ke Tanah Suci Mekah pada 27 April ini.

Kayuhan murni itu akan bermula dari Arau, Perlis, dengan kehadiran Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan melepaskan kayuhan tersebut.

Menurut Amar, idea untuk kayuhan tercetus selepas dia dan Qobin sering melakukan rutin berbasikal sehingga 200 kilometer (km) seminggu.

“Setiap minggu, kami berkayuh antara 100 hingga 200 km. Jadi, tidak mustahil untuk kami berkayuh ke Tanah Haram,” katanya.

Qobin menjelaskan bahawa mereka akan memulakan kayuhan dari Perlis ke Bangkok, sebelum menggunakan pengangkutan udara ke India.

Dari India, mereka akan meneruskan kayuhan melalui sempadan Pakistan, Iran, dan UAE, sebelum akhirnya memasuki Arab Saudi.

“Kami tidak akan melalui Myanmar dan Bangladesh kerana kedua-dua negara tersebut sedang bergolak dan dinasihatkan oleh beberapa pengembara sebelum ini untuk mengelakkan laluan tersebut,” jelas Qobin.

PENJELAJAH Grand Slam Negara, Qobin dan pelakon, Amar Baharin akan memulakan kembara berbasikal ke Tanah Suci Mekah pada 27 April ini.

Qobin menegaskan bahawa misi ini bukan bertujuan untuk mencipta rekod, tetapi merupakan salah satu impian mereka untuk mengembara ke Mekah melalui darat.

“Ini adalah impian kami untuk sampai ke Tanah Suci dengan cara yang berbeza dan bermakna,” ujar Qobin.

Sementara Amar pula berharap agar perjalanan mereka diberkati.

“Doakan agar perjalanan kami selamat, diberikan kekuatan dalam setiap kayuhan dan kami berjaya sampai ke Mekah dengan umrah yang mabrur,” katanya.

Kedua-dua pengembara ini merancang untuk berkayuh antara 80 hingga 120 km sehari dan menjangkakan tempoh perjalanan antara 2 hingga 2.5 bulan untuk sampai ke Mekah selain menggunakan dana sendiri untuk membiayai kembara tersebut.

Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan dan menyokong perjalanan Qobin dan Amar, boleh melayari laman sesawang www.qanda.my (akan aktif pada awal April 2025), serta platform media sosial seperti Tiktok, YouTube, Instagram dan Facebook peribadi Qobin dan Amar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas