MALAYSIA menzahirkan rasa simpati dan solidariti kepada rakyat Myanmar dan Thailand yang terkesan akibat dua gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud yang berpusat di Sagaing, Myanmar, tengah hari tadi.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, setakat ini, dilaporkan bahawa seorang terkorban dan 50 yang lain cedera di Bangkok selepas sebuah bangunan tinggi runtuh akibat gempa tersebut.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap agar semua yang cedera diberikan rawatan segera serta kesembuhan.
“Dalam saat yang mencabar ini, kami di Malaysia berdiri bersama rakyat Myanmar dan Thailand serta mereka yang terkesan. Saya panjatkan doa agar mereka diberikan
kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi bencana ini,” katanya dalam kenyataan.
Johari turut berharap agar usaha bantuan dan penyelamatan dapat dipermudahkan, dilaksanakan dengan cepat serta berkesan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang terjejas.
“Sebagai sebahagian daripada keluarga besar ASEAN katanya, kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk terus mengukuhkan semangat kebersamaan, memperkukuh hubungan serantau serta menghulurkan bantuan dan sokongan kepada negara jiran kita yang sedang menghadapi kesulitan,” jelasnya.
Katanya, dalam saat yang genting ini, adalah menjadi kewajipan semua untuk berganding bahu, menunjukkan solidariti dan memastikan bahawa tiada negara anggota yang dibiarkan menghadapi cabaran bersendirian. – WILAYAHKU
Foto: TikTok