Berita

151 anak gelandangan terima bantuan Ramadan

Majlis Iftar dan pemberian sumbangan daripada Planworth kepada pelajar-pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih.
- Diterbit 28 Mac 2025 1:30 PM MYT

PLANWORTH Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) menyantuni 151 pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), khas untuk anak-anak gelandangan dalam satu majlis berbuka puasa baru-baru ini.

Pada acara itu pelajar yang diraikan turut menerima sumbangan duit raya serta peralatan persekolahan.

Kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ramadan 2025 itu yang bertemakan Lebih Daripada Pembiayaan, Berkongsi Keberkatan Ramadan mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong komuniti yang memerlukan serta memastikan semangat Ramadan dapat dirasai oleh golongan kurang bernasib biak.

Komitmen terus diperluaskan kepada golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) apabila seramai 80 individu menerima sumbangan barangan keperluan asas, makanan serta duit raya dalam satu sesi khas.

Majlis Iftar dan pemberian sumbangan daripada Planworth kepada pelajar-pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih.

Pengarah Eksekutifnya, Elaine Lim, berkata mereka sentiasa mencari kelainan dalam membantu komuniti yang memerlukan dan menekankan kepentingan memberi kembali kepada masyarakat.

“Kami komited untuk menganjurkan program CSR setiap tahun sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami.

“Kami bukan sahaja berusaha untuk berkembang dalam sektor perniagaan tetapi juga mahu membangun bersama komuniti.

“Kami percaya usaha ini dapat menginspirasikan golongan muda untuk mencapai impian mereka serta membantu golongan yang kurang bernasib baik meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Bagi menjayakan inisiatif itu, Planworth telah memperuntukkan lebih RM35,000 dalam bentuk wang tunai, makanan, peralatan sekolah, kelengkapan barangan harian, makanan kering serta duit raya, kepada SBJK dan PTGKL.

Dengan pelaksanaan kempen ini, Planworth terus memperkukuh peranannya bukan sekadar sebagai penyedia penyelesaian kewangan, tetapi juga sebagai warga korporat yang prihatin dan bertanggungjawab.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas