KERAJAAN bersetuju untuk memberikan potongan tol 50 peratus (%) dari kadar tol biasa selama dua hari bermula dari pukul 12.01 tengah malam 28 Mac 2025 (Jumaat) dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam 29 Mac 2025 (Sabtu) bersempena Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, implikasi kewangan yang ditanggung oleh Kerajaan MADANI dianggarkan sebanyak RM19.69 juta sebagai bayaran pampasan kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.
“Pemberian diskaun tol ini yang merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.
“Ia adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini,” jelasnya dalam kenyataan.
Tambahnya, diskaun tol ini akan diberikan hanya kepada kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA). – WILAYAHKU