DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti sebanyak 48 premis dan bangunan terbiar di ibu negara dengan 25 daripadanya merupakan bangunan kediaman manakala 23 lagi adalah bangunan komersial.
Dapatan itu mengikut rekod sehingga 20 Februari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata langkah pemantauan dan tindakan terhadap bangunan terbiar sedang giat dilaksanakan DBKL bagi mengurangkan kesan negatifnya terhadap bandar raya.
“Tidak semua bangunan kosong secara automatik dianggap terbiar, melainkan ia memenuhi ciri-ciri seperti tidak diselenggara, kotor, diliputi tumbuhan liar serta boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Fatmi Che Salleh di Dewan Negara pada Selasa.
Menurut Zaliha analisis yang dijalankan DBKL mendapati bangunan terbiar tertumpu di beberapa kawasan, termasuk Jinjang Utara yang mencatatkan tujuh premis yang kebanyakannya adalah kediaman lama.
“Di Jalan Sultan Azlan Shah atau Jalan Ipoh, beberapa unit bangunan kediaman dan komersial yang ditinggalkan mencerminkan kemerosotan bandar (urban decay) serta pembangunan terbantut.
“Di Lorong Tiong Nam turut mencatatkan beberapa premis lama di lorong-lorong tertentu, kebanyakannya bangunan kedai prakemerdekaan yang sudah usang,” katanya.
Zaliha turut memaklumkan beberapa lokasi strategik seperti Jalan Bukit Bintang, Jalan Pudu dan Jalan Gombak turut disenaraikan sebagai kawasan yang mempunyai bangunan terbiar sekali gus menunjukkan isu ini bukan hanya berlaku di pinggir bandar tetapi juga di pusat komersial utama.
“Kejiranan matang dan stabil seperti Kepong Baru, Taman Tun Dr Ismail, Setapak, Cheras dan Kampung Pandan juga mempunyai bangunan terbiar, yang mungkin berpunca daripada isu pemilikan berlapis, perancangan warisan terbantut atau kegagalan pelaburan hartanah,” tambahnya.
Menurut beliau, DBKL telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi menangani isu ini, termasuk mengeluarkan notis di bawah Seksyen 74 dan 75 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kepada pemilik bangunan terbiar.
“Seksyen 74 memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengarahkan pemilik memperbaiki atau membersihkan bangunan yang kotor dan menyakitkan mata, manakala Seksyen 75 membolehkan tindakan diambil sekiranya pemilik gagal mematuhi arahan tersebut.
“Namun, setakat ini hanya sembilan pemilik bangunan terbiar yang telah mengambil tindakan selepas menerima notis,” katanya.
Selain itu, DBKL turut menguatkuasakan Seksyen 83(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), yang membolehkan PBT memerintahkan pembaikan, pengubahsuaian atau perobohan bangunan yang membahayakan keselamatan awam atau mencacatkan estetika persekitaran.
DBKL juga telah menganjurkan sesi libat urus bersama pemilik, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk untuk mencari penyelesaian bersama dalam menangani isu ini.
Zaliha berkata DBKL sedang meneliti strategi penggunaan semula (repurpose) dan pembangunan semula (redevelopment) bersama rakan strategik bagi memastikan bangunan terbiar dapat dipulihkan dan kembali menjana nilai ekonomi.
“Bangunan terbiar bukan sahaja menjejaskan imej bandar tetapi juga mendatangkan kos dari segi keselamatan, pencemaran visual dan kehilangan potensi ekonomi.
“Oleh itu, DBKL sedang memperhalusi strategi terbaik agar bangunan terbiar ini dapat dimanfaatkan semula dengan pendekatan yang lebih holistik,” katanya.