Berita

Kes penyelamatan di Labuan menurun

ABD RAHMAN ketika berucap pada Program Kempen Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Op Rondaan Sempena Musim Perayaan Aidilfitri.
- Diterbit 30 Mac 2025 12:00 PM MYT

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan merekodkan penurunan jumlah kes penyelamatan sebanyak 16.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

 

Menurut Pengarah JBPM Labuan, Abd Rahman Ali, berdasarkan rekod pada 2023 sebanyak 627 kes dicatatkan dan jumlah itu menurun kepada 525 kes pada tahun lalu.

 

Katanya penurunan tersebut mencerminkan keberkesanan langkah pencegahan serta peningkatan kesedaran keselamatan dalam kalangan masyarakat.

 

“Dalam tempoh lima tahun (2020-2024), jumlah kes kebakaran menunjukkan pola turun naik. Sebanyak 182 kes direkodkan pada 2020, menurun kepada 83 kes pada 2021.

 

“Namun angka ini meningkat semula kepada 165 kes pada 2022 dan 196 kes pada 2023. Pada tahun 2024, jumlah kes kebakaran melonjak kepada 360 kes.

 

“Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk terus meningkatkan langkah-langkah pencegahan kebakaran,” katanya kepada pemberita pada Program Kempen Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Op Rondaan Sempena Musim Perayaan Aidilfitri, baru-baru ini.

 

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.

 

Mengulas lanjut mengenai rondaan dan keselamatan, Abd Rahman berkata pihaknya terus mempergiat rondaan di lokasi-lokasi hots pot yang dikenal pasti di samping memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan lebih efektif.

 

Katanya sepanjang musim perayaan ini pihaknya memperhebatkan operasi Bilik Gerakan Operasi serta meningkatkan jadual rondaan di semua Balai Bomba dan Penyelamat.

 

“Selari dengan tiga aspek yang difokuskan iaitu mempertingkatkan pencegahan kebakaran, keselamatan di jalan raya dan keselamatan aktiviti di air.

 

“Untuk mencapai matlamat tersebut, cuti anggota JBPM telah dihadkan untuk memastikan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di pulau ini,” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas