SEORANG suri rumah bersama suami dan empat anak yang tinggal di rumah kediaman usang dan sempit, sebak dan terharu selepas menerima rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Kampung Lajau, Labuan.

Mariniwati Ab Rajan, 40, menganggap rumah sumbangan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu merupakan hadiah paling berharga diterimanya dan menjadi lembaran baharu kepada kehidupan keluarganya.
Katanya sebelum ini dia sekeluarga terpaksa tinggal di kediaman yang usang dan tidak mampu untuk membaik pulih rumah tersebut.
“Lebih daripada 10 tahun kami anak-beranak tinggal di rumah ini dalam keadaan kerisauan dan sempit kerana rumah lama ini hanya ada ruang tempat tidur sahaja dan tidak ada tandas mahupun dapur.
“Jika kami mahu menggunakan dapur atau tandas, kami terpaksa menumpang di rumah ibu bapa saya yang berada bersebelahan,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Mariniwati berkata apabila rumah baharu PPRS itu siap, sudah tentu ia memberikan keselesaan kepadanya sekeluarga kerana dilengkapi dapur serta tandas.
“Saya dan suami amat bersyukur dan ucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya KKDW dengan pemberian rumah baharu,” katanya.
Sementara itu, KKDW meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan PPRS membabitkan 30 buah rumah baharu dan 50 buah rumah dibaik pulih di Labuan pada tahun lalu.
Menurut Setiausaha Politik Menteri, Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii, program Touch Point itu mencerminkan fokus dan komitmen kerajaan bagi membantu keluarga miskin dan miskin tegar di luar bandar di seluruh negara. – WILAYAHKU