Sukan

Tunggakan gaji pemain Liga Malaysia beri impak negatif

SAFEE risau dengan isu tunggakan gaji bakal memberi kesan kepada minat anak muda terhadap sukan bola sepak.
- Diterbit 28 Mac 2025 9:00 AM MYT

ISU tunggakan gaji pemain Liga Malaysia (Liga M) bakal memberikan impak dan perspektif negatif terhadap industri sukan bola sepak liga tempatan sekiranya tidak diselesaikan dalam kadar segera.

Tunggakan gaji pemain yang dikatakan mencecah puluhan juta dengan sekurang-kurangnya 12 pasukan terjejas sehingga kini masih menemukan jalan bantu.

Ia menyebabkan sesetengah pemain terpaksa menjalankan perniagaan secara dalam talian dan menjadi penghantar makanan demi kelangsungan hidup.

Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang juga bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mengakui bersimpati dengan nasib yang menimpa pemain bola sepak tempatan itu.

Katanya isu itu sudah berlarutan lama menyebabkan ia agak sukar dan mengambil masa untuk diselesaikan.

Kes itu katanya sudah dibawa ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) namun prosesnya mengambil masa.

Safee ketika ditemui turut melahirkan kebimbangan isu tunggakan gaji pemain bola sepak bakal menimbulkan keraguan kepada generasi muda untuk berkecimpung dalam sukan itu disebabkan masa depan yang samar.

“Kesedaran untuk melakukan tanggungjawab membayar gaji pemain paling utama sekali perlukan pendidikan yang lebih lagi.

“Terus terang saya kasihan apabila ada pemain terpaksa menjual air balang dan berniaga di bazar Ramadan bagi menampung kekurangan.

“Itu tidak mencerminkan karier sukan bola sepak ke arah yang baik, sebaliknya apa yang menimpa industri bola sepak akan memberi kesan serta menyebabkan generasi muda tidak berkecimpung dalam sukan bola sepak,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Perkara itu juga akan turut mempengaruhi keyakinan ibu bapa untuk memberi keizinan kepada anak mereka berkecimpung dalam dunia bola sepak dan menjadikan ia sebagai satu kerjaya berikutan pelbagai masalah yang timbul.

“Bukan generasi muda saja, ibu bapa juga pastinya ragu-ragu dan melarang anak-anak memilih kerjaya sebagai pemain bola sebaliknya galakkan mereka sambung belajar supaya dapat kerja yang lebih bagus dan masa depan lebih terjamin.

“Itu persepsi yang saya risaukan dari dulu. Memang ternyata betul, realitinya ramai memilih bekerja dalam industri p-hailing kerana dapat jana pendapatan yang lebih.

“Pada waktu sama, struktur liga yang lompong menyebabkan bakat kita ramai yang lari.

“Ini perkembangan yang tidak bagus untuk bola sepak kita, sebab ada yang mula suarakan buat apa main bola sepak lebih baik buat p-hailing,” katanya yang mengharapkan ada penyelesaian baik berkaitan isu tunggakan gaji.

Sementara itu berkongsi pandangan mengenai skuad Harimau Malaya, Safee yang pernah meraih gelaran penyerang prolifik dalam pasukan itu teruja dengan penyertaan bintang warisan baharu yang dilihat bakal memperkuat skuad kebangsaan itu.

Beliau melihat terdapat penambahbaikan dari sudut peminat dan rombakan di struktur FAM juga berubah secara total.

Penglibatan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail adalah sesuatu yang amat baik.

“Saya berharap benda ini berhasil seperti yang dirancang, meski bukan 100 peratus sekurang-kurangnya ada kemanisan dan kemenangan yang bermakna untuk pasukan Harimau Malaya,” katanya.

Penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu juga berkata kita ketandusan penyerang yang baik tetapi masalah itu tidak hanya berlaku di negara ini tetapi seluruh dunia berdepan masalah sama.

“Memang bola sepak mengalami ketandusan nombor 9, kita ketandusan penyerang dan boleh dikatakan hampir pupus.

“Dari segi corak permainan satu pasukan, susah nak dapat nombor 9. Bagi mengatasi masalah itu kita kena ada coach atau latihan yang khusus untuk penyerang saja kerana lain-lain tiada masalah.

“Kita ada ramai pemain tempatan yang hebat boleh dilantik sebagai jurulatih seperti Akma Rizal dan Datuk Zainal Abidin Hassan yang boleh bantu bangunkan bahagian penyerang dan kalau boleh dapat jurulatih dari luar negara pun apa salahnya,” kata Safee. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas