Artikel

Pasukan Tentera Siber perlu segera diwujudkan

SERANGAN siber kini menjadi ancaman kepada pertahanan negara.
- Diterbit 28 Mac 2025 4:00 PM MYT
Oleh ZULKIFLI SULONG

LANGKAH kerajaan mempertimbangkan sama ada ia perlu mewujudkan angkatan tentera siber perlu disokong sepenuhnya. Ini kerana, inilah medan peperangan yang utama sekarang.

Oleh itu rasanya, cadangan ini tidak perlu dipertimbangkan lagi tetapi menyusun segala strategi dan keperluan kelengkapan kepada pasukan tentera siber ini.

Memang ada peperangan bersenjata secara konvensional yang berlaku di serata dunia sekarang tetapi dalam konteks Malaysia, inilah ancaman sebenar yang dihadapi oleh negara.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengaku ancaman siber ini sedang dihadapi negara.

Beliau mendedahkan sistem digital Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah diserang baru-baru ini dengan penggodam menuntut bayaran AS$10 juta.

Beliau berkata kerajaan bagaimanapun tidak tunduk kepada ugutan itu, selain menyatakan keperluan meningkatkan sistem negara dengan dana tambahan kepada beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Semalam kita bicara tentang serangan siber dan hacking (godam) dan agak berat terhadap MAHB. Jadi perbincangan bagaimana menyelesaikan, termasuk tuntutan daripada penggodam untuk memperoleh dana AS$10 juta atau sebagainya, saya dimaklumkan.

“Saya tak tunggu lima saat. Saya terus jawab ‘no’. Tidak mungkin negara ini akan selamat kalau pimpinan dan sistemnya mengizinkan kita tunduk kepada ultimatum penjenayah dan pengkhianatan,” katanya pada Sambutan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis.

Jadi, apa yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan bahawa kerajaan mempertimbangkan penubuhan pasukan ini, tidak perlu dipertimbangkan lagi. Ia perlu dilaksanakan segera.

Di Dewan Negara, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata angkatan tersebut akan dilengkapi dengan kepakaran teknikal tinggi dalam bidang perisikan ancaman siber, forensik digital, pertahanan siber aktif dan respons kejadian.

“Keupayaan ini membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja bertindak balas terhadap serangan siber tetapi juga menghalang dan meneutralkan ancaman sebelum ia memberi kesan terhadap operasi ketenteraan dan keselamatan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara kepada Senator Amir Md Ghazali.

Kementerian Pertahanan melalui Kertas Putih Pertahanan telahpun menetapkan hala tuju bagi menjadikan ATM sebagai angkatan masa hadapan yang lebih bersepadu, tangkas dan berfokus menjelang 2030.

Khaled berkata ini termasuklah dalam menghadapi ancaman yang tidak dijangka iaitu ancaman keselamatan yang berlaku secara tiba-tiba dan sukar diramal, termasuk serangan siber, peperangan hibrid, serangan pengganas, penggunaan dron dalam peperangan, bencana alam dan konflik serantau.

“Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan Negara turut menyenaraikan bidang fokus yang kritikal untuk diteroka dan diberikan perhatian agar sektor pertahanan negara berupaya berhadapan dengan perkara seperti Cyber Warfare, Unmanned Warfare, Drone Warfare dan kimia, biologi, radiologi dan nuklear atau CBRN Warfare.

“Untuk maklumat, kita kini memperuntukkan kira-kira 1.1 peratus daripada KDNK negara untuk tujuan pertahanan. Cadangan meningkatkan perbelanjaan pertahanan ini seiring dengan pendekatan negara jiran yang memberi keutamaan tinggi kepada sektor pertahanan bagi melindungi kepentingan negara yang berdepan cabaran semakin kompleks pada masa kini dan masa hadapan.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap keselamatan dan kedaulatan negara, terutamanya dalam menghadapi ancaman yang semakin kompleks dan dinamik dan dalam hal ini, kerajaan sentiasa menimbangkan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara,” katanya.

Kalau selama ini ancaman siber hanya ditangani oleh jabatan-jabatan tertentu sahaja, tentera kita juga perlu ada satu pasukan tentera siber yang sedia mempertahankan negara.

Saya yakin, tentera siber bukan bertugas untuk mempertahankan ancaman dari luar juga, tetapi jika perlu bersedia berperang untuk mempertahankan negara dari ancaman dalam negara sendiri.

Betul polis sudah ada pasukannya sendiri, tetapi jika kita ada tentera siber yang terletak di bawah Kementerian Pertahanan, ia akan lebih berkesan lagi.

Pasukan ini boleh menjadi pasukan pertahanan yang ampuh dari sebarang ancaman kepada negara.
Serangan siber dan penyebaran berita tidak benar serta maklumat palsu adalah antara cabaran besar kepada kestabilan sesebuah negara.

Justeru, Mohamed Khaled menegaskan sistem keselamatan dan pertahanan negara perlu serius dan diperkukuhkan dengan sistem teknologi maklumat yang terkini bagi memastikan keselamatan dan keharmonian sentiasa terpelihara.

Katanya ancaman seumpama ini khususnya penyebaran maklumat palsu hingga menyebabkan perpecahan antara bangsa dan agama oleh pihak tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi utama termasuk ATM.

“Jika kepercayaan terhadap institusi keselamatan kita terhakis, ia dikhuatiri boleh menjejaskan dan mengganggu keharmonian antara masyarakat hingga boleh menyebabkan perpecahan.

“Suasana ini juga akan menghalang pasukan keselamatan kita melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa, Menteri Pertahanan bersama pengamal media pada 26 Mac lepas beberapa hari selepas kenyataan beliau di Dewan Negara.

Jadi sekarang, kita berharap semua pihak memberikan sepenuh kerjasama kepada Kementerian Pertahanan bagi memastikan tentera kita mempunyai ketumbukan tentera yang khusus untuk menangani serangan siber.

SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas