MENYAMBUT Aidilfitri di ibu kota sudah menjadi tradisi keluarga penyanyi dan juga pelakon Alif Satar.
Sebagai anak sulung daripada empat beradik, menjadi tanggungjawab penyanyi itu untuk memberi keutamaan kepada kedua orang tuanya.
Maka sejak 10 tahun lalu kata Alif dia akan pulang ke rumah ibu bapanya pada malam raya sehingga hari raya kedua.
Walaupun tidak merasa suasana desa, namun kata Alif kemeriahan hari raya tetap sama.
Lebih-lebih lagi apabila kediaman baru milik ibu dan bapanya berkonsepkan desa, sekali gus memberikan pengalaman hampir sama seakan-akan beraya di kampung.
“Selaku anak sulung lelaki kepada tiga adik perempuan, setiap kali hari raya sejak 10 tahun lalu saya akan pulang ke rumah keluarga pada malam raya.
“Kami akan tidur di sana biasanya hingga raya kedua. Tahun ini apa yang menyeronokkan kerana kami akan beraya di rumah baru ibu dan bapa saya.
“Setiap kali raya, rakan-rakan yang tidak pulang ke kampung halaman biasanya akan berkunjung ke rumah keluarga saya,” katanya yang menerima kunjungan daripada penyanyi Faizal Tahir pada Syawal pertama tahun lalu.
Tak hanya Faizal, kata Alif rumah ibu bapanya sudah menjadi seperti ‘markas’ untuk sanak saudara dan rakan-rakannya berkumpul.
Hidangan wajib yang akan disediakan ibunya adalah laksa utara.
“Bagi saya kemeriahan raya langsung tidak berkurang, keseronokan sebaliknya tetap dirasakan walau di mana saja berada kita tak kira menyambutnya di kampung atau bandar.
“Biasanya rumah mama akan penuh pada hari raya kedua, jadi kami sekeluarga memang tak dapat ke mana-mana pada hari itu kerana sibuk melayan tetamu.
“Kebetulan rumah baru mama berkonsepkan ala-ala kampung, jadi dapat jugalah anak-anak merasa seperti suasana di kampung,” katanya.
Menurut Alif mereka sekeluarga masih mempunyai sanak saudara di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.
Sesekali mereka ada juga menziarah sanak saudara di sana, yang secara tidak langsung memberi ‘vibes’ balik kampung kepada anak-anaknya.
“Mungkin kami dah terbiasa beraya di sini, jadi kami tetap rasakan keseronokannya.
“Lagipun saya tak bercuti lama tahun ini, daripada menghadap kesesakan lama-lama hingga anak hilang mood, lebih baik menyambut raya di sini saja,” katanya.
Sementara itu, Alif baru saja melancarkan lagu raya terbaharunya berjudul Senyum Senyum Raya bersama The Locos.
Kata Alif dia sangat teruja apabila buat pertama kalinya merakamkan lagu raya dan melakonkan muzik video raya bersama The Locos.
“Saya memang sangat teruja dapat bergabung bersama The Locos untuk projek muzik video. Ini merupakan pengalaman pertama anggota The Locos yang lain berlakon.
“Walaupun sekejap tetapi ia satu pengalaman yang menyeronokkan.
“Lagu Senyum Senyum Raya bertujuan menggalakkan supaya kita tersenyum dan lebih menyeronokkan lagi apabila terdapat pembabitan pelakon veteran dalam muzik video ini,” katanya.
Lagu Senyum Senyum Raya adalah sempena kempen raya, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank di mana Alif merupakan duta kepada syarikat kewangan itu.
Lagu itu adalah hasil ciptaan Yusuff Khan, Adam Armin, Adly Kiddy dan Ja’a, serta dinyanyikan oleh Alif Satar & The Locos. – WILAYAHKU