Sukan

WiPers sasar juara SUKMA 2026

- Diterbit 26 Mac 2025 7:06 PM MYT

MEMULAKAN tugas sebagai Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) pada 5 Julai 2023, NIK AHMAD ZAHIRUDDIN NIK SALEH ketika itu berdepan cabaran besar apabila mempunyai 13 bulan untuk mengemudi agensi di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) itu menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak 2024. Dengan pelbagai ujian yang dihadapi dalam tempoh yang singkat, Kontinjen Wilayah Persekutuan berjaya memberi saingan sengit kepada pendahulu keseluruhan, Sarawak apabila menduduki kedudukan kedua keseluruhan dengan 75 pingat emas, 65 perak dan 72 gangsa. Dibezakan hanya satu pingat emas di belakang Sarawak yang juga tuan rumah. Kini, Kontinjen Wilayah Persekutuan sedang dalam persiapan menghadapi SUKMA di Selangor yang dijangka bakal berlangsung pada Ogos 2026.
Bercakap kepada wartawan Wilayahku, AINI MAWAWI dan METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau optimis Kontinjen Wilayah Persekutuan mampu bergelar juara SUKMA 2026 ini.

Ketika Karnival Sukan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 baru-baru ini, Yang Berhormat (YB) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa ada menyentuh mengenai SUKMA 2026. Beliau mahu Kontinjen Wilayah Persekutuan mempamerkan kecemerlangan untuk berada di kedudukan pertama keseluruhan. Apa pandangan Tuan mengenai harapan ini?

Kami di MSWP menyambut baik sasaran Datuk Seri (Menteri). Mungkin itu adalah satu sasaran yang boleh dicapai pada pendapat beliau. Berdasarkan rekod sejak dua ke tiga SUKMA lepas kami tidak pernah jatuh daripada nombor tiga. SUKMA di Sarawak kita nombor dua dan harapan YB Menteri termasuk harapan saya sendiri, kami nak jadi juara. Cuma apa yg perlu dibuat adalah kita perlu membangunkan bakat-bakat atlet dan juga menambah baik program-program sedia ada termasuk dari segi penyediaan fasiliti bersesuaian untuk atlet kita berlatih. Kita memang tak ada fassiliti tetap, dan kita ke arah itu, insya-Allah. Kalau semua berjalan lancar, tiada yang mustahil untuk kita menjadi juara SUKMA tahun depan.

Apa prasyaratnya untuk Kontinjen Wilayah Persekutuan mencapai sasaran juara?

Yang pertama sudah tentu persiapan yang betul dan juga strategi yang tepat. Persiapan ini (melibatkan) banyak perkara, termasuk aspek latihan dan aspek fasiliti (latihan). Selain itu pengurusan kewangan yang betul juga memainkan peranan yang sangat signifikan sebab untuk mencapai kejayaan, sudah tentu kita perlu melabur. Kami tidak mempunyai dana yang tetap daripada kerajaan, hanya peruntukan tahunan daripada Kementerian Kewangan dan insya-Allah kami akan bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkenaan untuk menambah dana dan membantu atlet dari segi persiapan, bukan sahaja mental tetapi juga fizikal.

Antara sukan yang bakal dikuasai atlet Wilayah Persekutuan dalam SUKMA 2026?

Kalau mengikut kepada SUKMA di Sarawak yang lepas ada 37 jenis sukan dipertandingkan, namun setakat ini di Selangor hanya mempertandingkan 28 sukan tertakluk kepada tambahan mungkin lima lagi sukan. Jadi kalau nak jadi juara kita tak boleh fokus kepada sukan tertentu. Kita kena mencapai pingat daripada pelbagai jenis sukan dan kalau nak kata sukan yang kita kuat, sudah tentu akuatik, gimnastik, gimrama dan bola jaring tak pernah gagal memberi pingat emas setiap kali kita ke SUKMA. Dari segi persiapan, memang kita sudah memulakannya. Program-program kita sudah bermula sejak Oktober tahun lalu dan akan berterusan. Program-program Golden Sports Collaboration (GSC) yang kita hantar atlet berlatih di luar negara, kita akan teruskan bergantung kepada kedudukan kewangan sedia ada di MSWP.

Perbezaan jenis sukan ditandingi antara SUKMA 2024 dan SUKMA 2026? Kontinjen Wilayah Persekutuan menghantar berapa ramai atlet? Berapa sasaran pingat emas?

Kalau SUKMA di Sarawak 2024, kita menghantar lebih 1,000 atlet termasuk pegawai dan dengan pengurangan kepada 28 jenis sukan di Selangor, jadi jumlah itu saya rasa akan berkurangan. Kita juga masih menilai prestasi atlet sebab selepas ini akan ada senarai atlet untuk disenarai pendek dan akan ada satu senarai akhir untuk kita bawa ke SUKMA. Sebab SUKMA ini bukan medan kita mencuba nasib ataupun medan pendedahan, tetapi untuk kita mencapai hasil. Mungkin ada sukan yang kita rasa tak ada prospek, itu kita tak akan hantar, walaupun di Selangor.

Bagaimana dengan prestasi semasa atlet Wilayah Persekutuan?

Kita ada banyak kejohanan di peringkat kebangsaan. Kita juga memantau atlet daripada peringkat bakat. Maksudnya (di peringkat) MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia) pun kita tengok atlet yang mungkin ada potensi untuk mewakili Wilayah Persekutuan di masa hadapan. Berdasarkan kepada senarai atlet di SUKMA yang lepas, kita ada dalam 35 hingga 40 peratus lagi yang masih layak untuk beraksi di SUKMA tahun depan dan kita tengok, atlet-atlet ini mungkin boleh menghasilkan sesuatu. Ada dalam kalangan mereka ini yang telah mendapat pingat emas dalam kejohanan yang lepas. Jaid kita harap akan lebih banyak kejayaan pada SUKMA di Selangor nanti.

Sepanjang lima tahun ini, apa yang membanggakan melibatkan atlet Wilayah Persekutuan setakat ini?

Kalau diikutkan, lima tahun lepas kita dah ada tiga SUKMA, yang terakhir di Sarawak di mana Wilayah Persekutuan berada pada kedudukan Top 3. Sejak 2008, kita tidak pernah gagal berada di Top 5. Cuma sekarang perlu sasarkan untuk berada di tangga tertinggi, tidak boleh terlalu selesa, kena all-out dan saya mahu kita sentiasa konsisten membekalkan atlet-atlet untuk negara.
Antara atlet-atlet Wilayah Persekutuan yang bersinar di peringkat antarabangsa adalah atlet badminton, Soh Wooi Yik; atlet penerjun, Nur Dhabitah Sabri dan atlet baharu dalam sukan gimrama, Ng Joe Ee yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2022. Jadi, saya komited untuk kami menghasilkan atlet-atlet yang bukan sahaja bersinar di SUKMA tetapi di peringkat antarabangsa.

Sepanjang tahun ini, berapa ramai atlet Wilayah Persekutuan akan beraksi di sukan-sukan berprestij?

Atlet terbaik kami pada SUKMA lalu adalah perenang berbakat, Muhammad Dhuha Zulfikry, 17, yang berjaya membolot enam pingat emas ketika itu. Pada Kejohanan MSSM 2024, dia meraih 10 emas. Kita jangka dia akan menjadi permata kepada negara dan tidak mustahil akan beraksi pada Sukan Asia atau Komanwel nanti.

Untuk tahun mendatang, apa yang Tuan mahu lihat terhadap perkembangan sukan di Wilayah Persekutuan?

Kalau dalam tempoh jangka masa pajang saya nak melihat Wilayah Persekutuan mempunyai sebuah kompleks untuk atlet berlatih. Apabila adanya kompleks yang lengkap, atlet-atlet dapat dilatih dengan lebih baik dan tersusun. Sebab sekarang memang kami tiada pusat latihan yang sempurna. Kami terpaksa menumpang ihsan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kadang-kadang menggunakan dewan komuniti namun adakalanya tidak boleh digunakan kerana bertembung dengan aktiviti komuniti.
Insya-Allah kita pun sudah berbincang dengan pihak Arena Sukan Kuala Lumpur untuk penggunaan kompleks sukan mereka kerana saya lihat ada beberapa jenis sukan yang bersesuaian seperti akuatik selain sewa yang tidak terlalu mahal. Jika dapat berlatih di situ atlet-atlet boleh berlatih dengan tenang.

Bagaimana pula dengan kemudahan-kemudahan latihan atlet di Wilayah Persekutuan? Memuaskan atau perlu ada tambah baik?

Saya ambil contoh sukan renang, sebelum SUKMA yang lepas memang atlet kita berlatih dalam keadaan pusat latihan yang agak daif. Jubin ada yang pecah sehingga mendatangkan kecederaan kepada atlet. Biarpun begitu, atlet-atlet kita tetap memberikan persembahan luar biasa melebihi sasaran yang ditetapkan. Dari segi pembangunan, persatuan menjalankan kerja yang baik, atlet dan kami di MSWP akan terus memberi sokongan dari segi kewangan mengikut keupayaan kita dan sokongan-sokongan lain terutamanya daripada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), DBKL, Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) yang banyak membantu.

Penajaan adalah antara elemen penting dalam pembangunan sukan. Bagaimana Tuan melihat elemen itu khususnya sokongan daripada sektor swasta?

Kita tidak nafikan penajaan daripada pihak swasta sangat penting kepada pembangunan sukan, selain itu, kami juga mempunyai tabung Majlis Sukan Wilayah Persekutuan. Dalam masa sama, kita juga menjalankan kerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) antaranya Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di mana UNITEN merupakan pusat latihan untuk atlet bola jaring. UiTM Shah Alam misalnya berminat untuk menerima atlet-atlet kita menyambung pelajaran. Kami sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang dapat memberi faedah kepada atlet dan persatuan.

Apakah harapan tuan untuk atlet dan warga MSWP?

Saya berharap atlet terus mengekalkan disiplin dan teruskan komitmen agar berjaya bukan sahaja di SUKMA tetapi di peringkat antarabangsa. Saya ambil contoh, salah seorang atlet memanah yang kita didik untuk SUKMA tiba-tiba layak ke Sukan Olimpik, kita nasihatkan dia untuk pergi biarpun mungkin kami kehilangan prospek emas dalam SUKMA tetapi demi masa hadapan dia, penampilan dia sangat mengagumkan, bukan semua orang layak.
Dalam masa sama, saya bangga pegawai-pegawai MSWP sangat komited dan berdedikasi setiap masa. Saya harap mereka boleh terus kekal begitu. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Presiden Perbadanan Labuan dan semua yang terlibat kerana banyak membantu kami dari segi persiapan SUKMA dan saya harap kerjasama ini kekal, tak mustahil kita akan jadi juara pada SUKMA 2026 di Selangor. Insya-Allah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas