Selera

Berbuka gaya klasik di PICC

- Diterbit 26 Mac 2025 6:16 PM MYT

BUFET Ramadan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) kini kembali dengan sekali lagi menyajikan masakan Melayu dan rasa klasik Malaysia yang membangkitkan nostalgia.

Menawarkan sehingga 120 jenis menu, Sous-chef Bufet Ramadan PICC, Cef Abdul Talib Taha berkata pelbagai jenis pilihan ditawarkan yang menepati cita rasa masakan klasik tradisi.

“Antara menu masakan yang menjadi keunikan berbuka puasa di sini adalah Ayam Masak Lemak Kuning Daun Selasih, Ikan Keli Masak Cekur, Gulai Peria bersama Udang, Ayam Goreng Serai, Gulai Tulang Ikan Masin dan Terung Bulat. Kesemua ini adalah masakan kampung yang menjadi tumpuan pengunjung.

“Selain itu, terdapat 13 stesen gerai juadah menu berbuka dan enam stesen merupakan ‘live cooking’ antaranya adalah Roti John, Goreng-Goreng bersama Rangka Ayam, Kambing Golek, Churrus, Kuih Gorengan Melayu (Pisang, Keladi dan Keledek) dan juga Puri yang menjadi salah satu juadah pilihan pelanggan.

“Istimewa pada hujung minggu kita sediakan ‘nasi biriyani tanam’ yang menjadi salah satu juadah berbuka puasa yang dinantikan pengunjung,” katanya yang sudah lebih 11 tahun berkhidmat di PICC.

Berkongsi pembaharuan yang ditawarkan pada kali ini, Abdul Talib berkata terdapat beberapa gerai baharu disediakan.

“Antara yang baharu adalah kita tawarkan gerai rangka ayam. Ini semua di atas permintaan ramai pelanggan kita pada tahun lalu yang mahukan suasana dan makanan seperti di bazar Ramadan jadi kita adakan gerai rangka ayam pada kali ini.

“Bagi penggemar juadah pencuci mulut pula, tahun ini PICC menyajikan menu baru seperti pelbagai jenis pilihan serawa (durian, labu dan tapai ubi), Bubur Cha-Cha dan Kacang Hijau serta Puding Roti bersama Sos Kastard yang menjadi menu wajib pencuci mulut yang sering digemari oleh orang ramai.

“Seperti kebiasaan, gerai kambing bakar pastinya menjadi tumpuan ramai dan kerana itu kita kekalkan pada saban tahun,” katanya.

Abdul Talib berkata antara lain keistimewaan yang ditawarkan adalah kesemua sajian yang dihidangkan dimasak oleh barisan cef berpengalaman.

“Dengan berbekalkan pengalaman memasak di hotel terkemuka dan di PICC selama lebih 16 tahun, Cef Eksekutif PICC, Cef Tarmizi Abd Manaz bersama sembilan cef lain yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang masakan terus berusaha mengekalkan keaslian dan resepi klasik sebagai identiti kepada juadah berbuka puasa di PICC.

“Oleh yang demikian, faktor ini dijadikan sebagai daya tarikan untuk orang ramai mencuba dan menjadikan PICC sebagai destinasi pilihan untuk berbuka puasa,” katanya.

PUTRAJAYA RAMADAN ASEAN FOOD FESTIVAL

Berkongsi lanjut Abdul Talib berkata bersempena dengan Kepengerusian ASEAN di Malaysia, PICC tidak melepaskan peluang untuk turut terlibat sama dengan penganjuran Putrajaya Ramadan ASEAN Food Festival dengan kerjasama Putrajaya Holdings dan Perbadanan Putrajaya (PPj).

“Festival ini berlangsung serentak di tiga lokasi lain yang turut serta iaitu Hotel Pulse Grande, Double-Tree by Hilton Putrajaya Lakeside dan Hotel The Everly Putrajaya. Setiap tempat menawarkan makanan tradisi dari negara yang berbeza.

“Penganjuran festival ini adalah sebagai initiatif menyatukan pelbagai juadah tradisional dan kontemporari dari negara-negara ASEAN dalam hidangan bufet Ramadan di lokasi-lokasi berkenaan. Kerjasama ini adalah asas dalam mempromosikan perpaduan dan pemahaman di kalangan penduduk yang pelbagai dan merasai sendiri pengalaman gastronomi ini serta merasai semangat Ramadan melalui makanan, budaya dan komuniti.

“Di PICC kita mempromosikan makanan dari negara-negara seperti India, Laos, Thailand dan Vietnam. Kita angkat makanan signature di negara-negara tersebut dan sajikan kepada pengunjung di sini. Lagipun di sini kita menerima pengunjung bukan sahaja dari dalam malah ada juga dari luar jadi ia sedikit sebanyak membantu mempromosi Kepengerusian ASEAN itu.

“Justeru orang ramai dijemput hadir dan jangan lepaskan peluang berbuka dengan pelbagai hidangan klasik yang pastinya meninggalkan kenangan manis,” katanya.

Diadakan bertempat di Foyer Aras Concourse, PICC mensasarkan tempahan 15,000 orang pelanggan secara keseluruhan di bulan Ramadan iaitu peningkatan sebanyak 12% berbanding tahun lepas dari sektor korporat, orang awam dan juga kerajaan. Kapasiti penuh ruang berbuka puasa boleh menampung sehingga 800 orang dan boleh juga membuka kawasan dewan bagi tempahan berskala besar penambahan sehingga 500 orang.

Harga promosi pembelian awal telah dilanjutkan sehingga 14 Mac dengan harga tawaran RM98.00 (Dewasa) manakala RM49.00 (Kanak-kanak/Warga Emas) dan setelah promosi lanjutan tamat harga kembali kepada asal iaitu RM109 dan RM55 mengikut kategori berkenaan.

Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan bagi berbuka puasa Cita Rasa Klasik di PICC boleh menghubungi talian 03-8887 6000 atau WhatsApp talian hotline kami iaitu 013- 529 9496. – WILAYAHKU

Info:

Alamat: Putrajaya International Convention Centre, Presint 5, 62000 Putrajaya
Masa: 3 hingga 28 Mac 2025

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas