Berita

Menteri, Datuk Bandar sudah buat terbaik

- Diterbit 26 Mac 2025 6:02 PM MYT

“MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif sudah buat yang terbaik untuk penjaja, mengapa masih setiap hari nak kata mereka gagal?”.

Demikian ditegaskan Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Pasar Malam Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Azkhalim Suradi mengenai tohmahan demi tohmahan yang dilontarkan seorang dua dalam sebuah persatuan mengenai pemimpin berkenaan yang membuat pembaharuan terhadap bazar Ramadan kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk bazar Aidilfitri di Jalan TAR untuk tahun ini.

Malah katanya biarpun ada kelemahan dalam usaha DBKL melaksanakan pembaharuan tersebut, ia bukanlah perkara yang tidak boleh diperbaiki untuk penganjuran bazar pada tahun mendatang.

“Ini tahun pertama DBKL kendalikan sepenuhnya kedua-dua bazar berkenaan berbanding tahun-tahun sebelum ini oleh persatuan berkenaan. Tapi gabungan persatuan itu tak membantu apa-apa.

“Contohnya ada lot niaga di sebuah tapak di ibu negara, mereka dapat 20 lot dan satu khemah paling murah RM3,000 dan ada yang sehingga RM10,000. Walhal lesen (jika diuruskan) DBKL berapa? Untuk bazaria RM700 sahaja. Deposit RM2,000, kalau peniaga tak buat apa-apa kesalahan, dia boleh dapatkan semula deposit tersebut.

AZKHALIM

“Jika pada persatuan itu, kalau sudah bayar RM10,000, dia tak bagi semula (deposit), maksudnya dia ambil bersih dan untung 100 peratus di situ. Ini yang saya katakan mereka (persatuan berkenaan) tak membantu apa-apa pun,” katanya kepada Wilayahku.

Pihaknya yang diberi tanggungjawab menguruskan bekalan elektrik di Bazar Aidilfitri Lorong TAR turut memberikan contoh apabila DBKL menguruskan bazar juadah di Bukit Bintang, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu cuma mengenakan bayaran RM500 berbanding sebelum ini, RM2,000.

Beliau turut menolak dakwaan mengatakan Bazar Aidilfitri Lorong TAR tidak mendapat sambutan.

“Kalau nak buat tinjauan, datang selepas waktu berbuka, memang ramai. Tradisi sejak dulu, lepas solat sunat tarawih, memang kawasan ini sesak dan berlanjutan sehingga awal pagi. Kalau hari siang, siapa nak datang? Panas.

“Tradisi pengunjung di sini memang suka berbelanja pada saat-saat akhir dan memang penuh. Sebenarnya jual beli ini akan meriah seminggu terakhir, memang dari dulu begitu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan peniaga memanfaatkan media sosial untuk berniaga secara dalam talian.

“Memang ada peniaga yang buka bazar dan di rumah mereka akan buat live (promosi dan jualan). Sekarang zaman berubah, bukan macam dahulu dan kita kena ikut peredaran zaman,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau yakin pihak yang setiap hari mengatakan ‘Menteri gagal, Datuk Bandar gagal’ akan menghentikan semua dakwaan berkenaan apabila sudah hampir Aidilfitri nanti.

“Memang mereka mahu mencari kesalahan orang lain, asyik kata itu gagal, ini gagal dan kononnya akan ambil semula (pengurusan) tapak jualan. Dia itu siapa? Mahu melebihi kerajaan seolah-olah hanya dia sahaja yang betul.

“Tetapi yang saya nampak kalau cara agihan lot (jualan) ini adalah yang terbaik daripada pihak DBKL. Jika beri kepada persatuan itu, sebenarnya ada banyak persatuan tapi yang selalu mengata itu ini, hanya satu persatuan itu sahaja, yang persatuan lain tak complaint pun.

“Pihak berkenaan kena terima sudah ada pembaharuan dilakukan oleh pihak DBKL. Konon kata nak panggil SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), SPRM sudah datang pun tapi bukti (dakwaan salah laku) apa? Tak terbukti pun, dia boleh cakap tapi tak ada bukti,” katanya.

Beliau kemudiannya menegaskan jika sesuatu siasatan hendak dilakukan, lebih baik siasat apa yang telah dilakukan pihak berkenaan 10 tahun sebelum ini.

Sementara itu Azkhalim berkata tindakan pengurusan DBKL memindahkan pasar malam Jalan TAR ke depan disebabkan Lorong TAR digunakan untuk bazar Ramadan dan Aidilfitri turut memberikan rezeki berganda kepada peniaga pasar malam berkenaan.

“Semua peniaga pasar malam tahun ini tersenyum lebar. Ada lebih kurang 380 lot yang berpindah ke depan, majoritinya jual makanan dan tahun ini cukup meriah,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas