Fokus

Lihat dari sudut positif‚ ambil pengajaran

- Diterbit 25 Mac 2025 12:00 PM MYT

OLEH SABRINA SABRE & DIANA AMIR 

BABAK panas dalam beberapa drama tempatan antara lain membuatkan penonton berasa kurang senang terutama adegan ahli agama yang sekali gus memberi gambaran buruk terhadap Islam.

Tambah menjengkelkan, waktu siaran kedua-duanya adalah ketika Ramadan di mana ia seharusnya diserikan dengan program-program ibadah bagi mengimarahkan bulan penuh keberkatan ini.

Pelbagai reaksi diterima ekoran daripada drama tersebut yang pastinya setiap individu mempunyai tanggapan yang berbeza sama ada dari segi positif mahupun negatif.

SHUHAIMI

Memberi pandangan terhadap perkara itu, Pengarah dan Penerbit, Shuhaimi Lua berpendapat, sesebuah karya yang dihasilkan oleh pengarah bukan hanya sekadar bercerita, tetapi sudah pasti ingin membuka mata dan menyentak jiwa mereka yang menonton.

Beliau berharap cerita tersebut dijadikan sebagai satu pengajaran kerana yakin situasi seperti itu banyak terjadi di dunia sebenar.

“Perkara ini memang berlaku dalam kalangan masyarakat kita dan perlu dikupas supaya menjadi pengajaran untuk generasi akan datang. Justeru semua pihak seharusnya menilai drama-drama tersebut dari sudut positif dan menjadikan apa yang berlaku itu sebagai pengajaran.

“Kalau kita nak sorok susahlah sebab sebenarnya medium hiburan itu juga boleh jadi platform untuk berdakwah.

“Jadi jika kita melihat kepada kebaikan akan menjadi baik, begitu juga sebaliknya. Semuanya terpulang kepada penonton, siapa yang nak tengok, lihat dari sudut positif, jika sebaliknya, boleh tutup TV,” katanya.

Sementara itu, penerbit drama Bidaah, Erma Fatima pula berkata kisah yang dipaparkan dalam drama arahan Pali Yahya itu adalah bersandarkan kisah benar yang pernah dialaminya sendiri.

“Bidaah adalah kisah benar. Saya pernah berada di dalam kumpulan jemaah seperti itu beberapa tahun lalu. Apabila saya duduk dalam kumpulan itu, ilmu agamanya betul.

“Tiba-tiba satu hari saya dapat panggilan daripada seorang gadis daripada kumpulan itu memberitahu saya dia ditiduri tok gurunya. Bukan hanya dia, tetapi beberapa gadis lain. Ini bukan kisah bohong. Inilah bidaah. Akhirnya saya bawa keluar gadis-gadis itu dari tempat tersebut.

“Sebab itulah saya buat drama Bidaah, bukan untuk jatuhkan Islam. Tetapi saya mahu ibu bapa di luar sana kaji terlebih dahulu tentang siapa guru yang akan mengajar anak-anak mereka,” dedahnya dalam sebuah video yang dimuat naik dalam aplikasi media sosial TikTok.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa drama Bidaah tidak berkait dengan agamawan mahupun mana-mana kumpulan ajaran sesat.

“Drama tersebut dihasilkan semata-mata untuk memberi pengajaran terhadap penonton tentang segelintir individu yang didakwa menggunakan agama demi kepentingan diri,” katanya.

Di samping itu, penerbit berusia 57 tahun itu menekankan bahawa pakaian seseorang tidak melambangkan keperibadian mereka. Justeru Erma mengetengahkan watak-watak yang berselindung di sebalik imej Islamik.

Mengakui kesilapannya berikutan terdapat adegan yang melampau, beliau bagaimanapun berharap semua pihak dapat menonton drama tersebut sepenuhnya sebelum membuat tanggapan negatif. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas