Fokus

Drama, filem tidak perlu unsur lucah

- Diterbit 25 Mac 2025 12:00 PM MYT

OLEH DIANA AMIR & SABRINA SABRE

FILEM atau drama yang baik merupakan naskhah yang mampu menarik perhatian ramai untuk menonton dan seterusnya menghayati jalan cerita atau mesej daripada karya tersebut.

Ada ketika, karya filem dan drama yang ringkas selain ‘sejuk mata memandang’ sudah cukup mendakap dan berbekas di hati penonton.

Namun, entah mengapa, ada sahaja pengkarya seolah-olah mencuba menarik lapangan tular (viral) apabila menyelitkan unsur-unsur lucah (soft porn) dalam karya mereka dengan adegan-adegan ‘dewasa’.

Ia sudah tentu tidak bersesuaian dengan khalayak di negara ini jika hendak dibandingkan dengan Hollywood atau negara luar yang lain, terutama jika bertentangan dengan sensitiviti atau garis panduan diterapkan agama dalam seni berkarya.

Mengambil contoh isu yang hangat diperkatakan di media sosial ketika ini mengenai adegan sebuah drama memaparkan pelakon wanita mengusap janggut seorang pelakon lelaki menggunakan kaki, rata-rata netizen mendakwa babak tersebut seakan-akan menyelitkan elemen lucah yang dibimbangi dapat memberi persepsi buruk terhadap agama Islam.

Selain itu, sebuah lagi drama yang mengisahkan ‘haruan makan anak’ didakwa menyelitkan beberapa sentimen agama juga mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat sehingga ditegur agamawan.

Secara asasnya, sebarang bentuk hiburan dan lakonan adalah diharuskan selagi tidak menyalahi atau bertentangan dengan hukum syarak. Justeru dalam hal ini apa-apa bentuk lakonan yang mengandungi unsur lucah dan erotik jelas merupakan suatu perkara yang bertentangan dengan syarak.

MOHD NASIR

Menurut Pensyarah Kanan, Sekolah Pembangunan Sumber Manusia & Psikologi, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mohd Nasir Masroom‚ drama yang membawa mesej ajaran Islam tidak memerlukan unsur lucah kerana ia jelas bercanggah dengan prinsip agama.

Secara umumnya, Mohd Nasir berkata penggiat seni, pengarah dan pelakon mempunyai peluang untuk menyampaikan mesej dakwah serta kebaikan melalui karya seni mereka dan menghasilkan sebuah drama atau filem yang memberi gambaran mengenai keindahan Islam adalah satu usaha yang terpuji dan sangat dihargai.

“Namun begitu, tidak sepatutnya sebuah drama atau filem menayangkan adegan lucah dengan apa alasan sekalipun. Hal demikian kerana, perkara tersebut merupakan perbuatan yang mencemarkan maruah diri pelakon itu sendiri, apatah lagi ia menjadi tontonan umum.

“Ajaran Islam tegas memerintahkan umat Islam untuk menutup aurat sebagai cara untuk melindungi diri daripada sebarang perbuatan yang boleh mencemarkan maruah. Selain itu, menjaga hubungan dan percampuran (ikhtilat) antara pelakon lelaki dan wanita turut menjadi keutamaan dalam sebuah drama dan filem Islamik.

“Begitu juga perbuatan persenda agama hendaklah dilarang. Jika perbuatan tersebut tidak dicegah, maka agama akan menjadi satu subjek yang boleh diremehkan dan tidak dihormati. Kesannya, penonton akan melihat agama sebagai sesuatu yang boleh dijadikan bahan ketawa dan ejekan,” katanya kepada Wilayahku.

Walau bagaimanapun, Mohd Nasir berkata tidak dinafikan bahawa terdapat watak sebenar dalam dunia realiti yang menjadikan agama sebagai tunggangan untuk mencapai matlamat peribadi mereka.

“Sekiranya watak ini ingin ditampilkan dalam drama atau filem, penerbit dan pengarah perlu melakukannya dengan berhati-hati agar tidak memberi mesej yang salah terhadap agama Islam itu sendiri,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Nasir berkata salah satu sebab larangan memasukkan adegan lucah adalah untuk mengelakkan pengaruh negatif kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak dan remaja.

“Golongan ini mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dan tonton di media massa. Niat untuk memberi pengajaran umum mungkin boleh menjadi terkhilaf kepada mengajar melakukan sesuatu yang tidak berakhlak kepada para penonton.

“Selain tegahan adegan lucah, sebuah drama dan filem Islamik perlulah memberi keutamaan kepada pengajaran dan mesej yang menzahirkan keindahan Islam, berbanding mesej yang memburukkan Islam.

“Adegan dan watak yang mencemarkan Islam, jika ada sekalipun dalam drama dan filem, hendaklah diperbetulkan semula oleh adegan, watak dan mesej yang baik mengenai Islam,” katanya.

Mohd Nasir berkata tidak dinafikan kini, memasukkan adegan dan watak yang kontroversi selalu digunakan sebagai salah satu taktik dalam pemasaran sesebuah drama dan filem.

“Pada asasnya, Islam adalah sebuah agama yang mementingkan akidah, ibadah dan akhlak mulia. Menggunakan taktik pemasaran sebegini adalah bercanggah dengan prinsip akhlak mulia dan adab sopan yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia.

“Dalam Islam, jual beli atau pemasaran dibenarkan selagi ia mengikut kehendak syarak seperti tidak melakukan perkara yang haram, tidak menimbulkan fitnah kepada Islam, tidak menyebabkan pergaduhan, tidak menghina orang lain dan tidak menjatuhkan imej Muslim,” katanya.

MENCEMARKAN BULAN MULIA

DRAMA-DRAMA kontroversi yang ditayangkan di bulan Ramadan ini membuatkan masyarakat menganggap ia sebagai sesuatu yang keterlaluan sekali gus telah mencemarkan bulan yang mulia ini kerana hakikatnya untuk menyampaikan mesej ajaran Islam adalah tidak perlu untuk memasukkan elemen lucah.

Mohd Nasir berkata sewaktu berpuasa, kita bukan sahaja meninggalkan makan dan minum sahaja, tetapi turut ditegah daripada mengeluarkan kata-kata yang buruk seperti memaki hamun, mengadu domba, menyebarkan fitnah, bercakap lucah dan mengumpat.

“Selain itu, kita turut dilarang daripada melakukan dan melihat perbuatan yang boleh mengurangkan pahala puasa. Jika perbuatan dan perkataan lucah antara suami dan isteri dalam bulan Ramadan pun dilarang, apatah lagi jika dilakukan oleh bukan mahram dan dipertonton pula kepada khalayak umum,” katanya.

Tambahnya sebuah drama dan filem yang baik pastinya mendatangkan banyak manfaatkepada masyarakat, namun terselitnya adegan lucah telah menyebabkan keuntungan yang diterima dalam keadaan bercampur antara haram dan halal.

“Islam memberi panduan yang jelas dalam hal ini,” tegas beliau.

Beliau kemudiannya memetik sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh ramai orang. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.” (Hadis riwayat Tirmizi, No.1205)

“Jika kita tidak ingin terlibat dengan perkara syubhat, maka tinggalkan perkara tersebut. Buanglah adegen lucah yang boleh menjejaskan keberkatan pendapatan yang kita peroleh,” pesannya.

Dalam pada itu, Mohd Nasir berkata beliau percaya penggiat seni lebih faham dan tahu bagaimana untuk menyelitkan mesej keindahan dan kebaikan Islam dalam drama dan filem masing-masing.

“Islam memberi peluang yang luas kepada penggiat seni untuk berkreativiti dalam menghasilkan karya seni mereka. Perkara yang paling utama perlu diingat ialah patuhilah kehendak syarak.

“Berbincanglah dengan agamawan dan para pendakwah agar drama dan filem yang dihasilkan dapat membawa mesej dan imej keindahan Islam yang menjadi ruang dakwah kepada para penggiat seni‚” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas