OLEH SABRINA SABRE & DIANA AMIR
DALAM memperkukuh keselamatan dalam talian dan menyediakan ruang digital yang lebih selamat, Kementerian Komunikasi telah memulakan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian, yang digerakkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan semua universiti awam seluruh negara, antara fokus utama kempen adalah kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk memiliki akaun media sosial di mana penggunaan Internet perlu di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.

Menyambut baik usaha tersebut, Noor Haryana Pazim@Fadzim, 45, berkata sebagai ibu bapa, dia amat bersetuju dengan garis panduan tersebut.
“Anak-anak di bawah 13 tahun ini cara pemikirannya masih kurang matang dan mereka juga mudah terpengaruh dengan rakan sebaya.
“Jadi untuk penggunaan Internet terutamanya media sosial adalah perlu dipantau oleh ibu bapa kerana orang dewasa lebih tahu apa yang baik dan kesan di setiap keputusan.
“Tambahan pula kita tahu bahawa media sosial ini banyak impak negatif berbanding positif terhadap kanak-kanak sebagai contoh tahap kesihatan akan mudah merosot terutama pada kognitif daya fokus, penglihatan, mobiliti dan tingkah laku sosial. Perubahan paling ketara adalah anak-anak akan mengalami perubahan daripada sikap serta emosi,” katanya yang juga merupakan Pengetua Tadika Jambatan Merah, Sungai Merab.
Noor Haryana berkata ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam mengatasi masalah sosial akibat daripada penggunaan media sosial.
“Cara saya mungkin sukar dipersetujui oleh ibu bapa zaman sekarang iaitu hanya satu telefon bimbit sahaja disediakan untuk mereka tahu perkembangan terkini berkaitan sekolah.
“Selain itu saya juga meletakkan syarat masa dan jenis filem untuk ditonton bersama. Tiada sebarang password (kata laluan) dan hanya aplikasi tertentu sahaja dibenarkan,” katanya.
Merupakan ibu kepada lapan orang anak, Noor Haryana berkata anak-anaknya banyak didedahkan dengan aktiviti outdoor serta sensory base berbanding telefon bimbit dan televisyen.
“Saya tidak menghalang mereka untuk mengikuti trend yang tular di media sosial tetapi saya akan terangkan semula kebaikan dan keburukan perkara tersebut.
“Latihan ini mengambil masa dan memerlukan kesabaran namun hasilnya insya-Allah berkesan,” jelasnya.
Berkongsi pandangan sama, Aiman Muhammad, 31, berkata garis panduan tersebut adalah demi kebaikan bersama.
“Sebenarnya tiada keperluan untuk mereka mempunyai media sosial sendiri. Adalah lebih baik jika di usia mereka itu didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang boleh merangsang pertumbuhan dan lebih fokus terhadap pelajaran.
“Mereka merupakan bakal pemimpin masa depan semestinya kita mahu ia daripada golongan bijak pandai dan bukan hanya mereka yang mengejar trend di media sosial semata-mata.
“Selain itu, penggunaan media sosial di bawah umur juga akan meningkatkan risiko jenayah pedofilia kerana kita tidak tahu manusia jenis apa yang menggunakan media sosial di luar sana,” katanya yang merupakan bapa kepada dua orang anak. – WILAYAHKU