AM HALIM
SETIAP kali menjelang Ramadan mahupun Aidilfitri, petugas cerapan rasmi hilal di lokasi-lokasi melihat anak bulan yang telah ditetapkan pastinya menjadi perhatian ramai.
Tidak terkecuali petugas yang membuat cerapan di Pusat Cerapan Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang menjadi fokus utama Lensa Wilayahku.
Cerapan rasmi hilal merujuk kepada proses pengamatan anak bulan atau hilal, yang menandakan permulaan bulan baharu dalam kalendar Islam, contohnya Ramadan, Syawal dan Zulhijah.
Di Malaysia, Jabatan Mufti bagi setiap negeri dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan pakar falak di dalam Jawatankuasa Melihat Anak Bulan yang dilantik khas bertanggungjawab melaksanakan cerapan.
Masa cerapan adalah pada waktu senja, selepas matahari terbenam dan hilal mungkin kelihatan.
Secara teknikalnya, data hilal mestilah memenuhi syarat Kriteria Imkanur Rukyah (KIR) yang telah ditetapkan iaitu tinggi hilal 3 darjah dan jarak elongasi dari pusat Bulan ke Matahari 6.4 darjah.
Antara langkah-langkah dan proses yang terlibat dalam program cerapan rasmi hilal adalah penentuan lokasi dan masa cerapan, penggunaan peralatan khusus seperti teleskop dan theodolite, saksi dan pengesahan imej bersama data-data hilal.
Seterusnya pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja setelah diperkenan Yang di-Pertuan Agong. – WILAYAHKU
Lensa: