KEMENTERIAN Luar Negeri menegaskan bahawa tiada sekatan visa baharu dikenakan ke atas warganegara Malaysia yang ingin melakukan perjalanan ke luar negara.
Penjelasan tersebut dibuat susulan penularan video yang mengelirukan di platform perkongsian video, yang secara palsu mendakwa lapan negara memperkenalkan keperluan visa baharu kepada rakyat Malaysia.
“Kementerian menegaskan bahawa dakwaan ini adalah sama sekali tidak benar.
“Sehingga kini, tiada sebarang perubahan terhadap dasar visa yang menjejaskan rakyat Malaysia di negara-negara yang disebutkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Kementerian Luar Negeri, bagi menangani perkara ini, pihak kementerian telah membuat laporan polis dan turut merujuk video berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang dan peraturan yang sedia ada.
Kementerian menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta sentiasa merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat perjalanan yang tepat dan terkini.
“Kementerian Luar Negeri kekal komited dalam memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat yang tepat dan dilindungi semasa berada di luar negara,” katanya. – WILAYAHKU