BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, menyatakan tindakan spontan anak lelakinya, Muhammad Afwa menutup muzik ketika sedang menyanyikan lagu Nazam Lebaran gara-gara ingin tidur siang.
Menurut Siti, dia mengaku kesilapannya menggunakan bilik Afwa untuk menyanyi secara langsung (live) di TikTok bersama anak sulungnya, Siti Aafiyah.
“Dia tak faham. Okey dia tahu mak dia memekak saja. Bising…dia nak tidur, dia kata. Afwa ini dia lain macam sikit.
“Sebenarnya saya yang salah. Saya buat ‘live’ hari tu di bilik dia. Selalunya tengah hari dia kena nap (tidur sekejap) dekat bilik dia. Saya dah gunakan bilik dia untuk buat ‘live’ .
“Jadi dia mudah marah sebab dia dah mengantuk sangat, ibu tak stop-stop lagi. Dia dah keluar masuk keluar masuk bilik itu. Kami kunci pintu dulu tapi dia ketuk-ketuk,” katanya ditemui pada Majlis Silaturahim Ramadan & Berbuka Puasa anjuran Yayasan Nurjiwa bekerjasama dengan Yayasan Prihatin & Cuckoo di Ampang, baru-baru ini.
Pelantun lagu Raya Nak Ke Mana? itu berkata, dia cuba mengumpan Afwa dengan memberikan I-pad dan meneruskan sesi ‘live’ .
“Sekali Afwa dapat buka pintu tu, dia masuk dengan I-pad dan dia macam ni je (tekan) tup. Dia selamba saja masuk. Dia kata ibu bisinglah.
“Sebenarnya Afwa ini dia ada kelakar dia sikit. Kadang-kadang kat rumah pun dia yang mencuit hati saya lah.
“Kakak dia serius sikit. Kakak dia garang,” katanya sambil ketawa bercerita gelagat anak keduanya ini.
Siti turut mendedahkan Afwa juga meminati kereta sejak kecil dan kenal jenama-jenama kereta.
“Saya memang tak tahu, mungkin turun dari ayah dia kot. Dia minat kereta dan hafal logo. Kalau kereta kat lebuhraya tu dia tahu itu Porsche, itu Lamborghini, itu Mercedes. Dia pantang nampak kereta,” katanya.
Sementara itu, menerusi program malam tadi, Siti, Yayasan Prihatin dan Cuckoo menyantuni anak-anak yatim, penggiat seni, bekas pengamal media dan bekas Pegawai Perhubungan Awam syarikat rakaman.
Dia turut melancarkan program Kembara Ilmu Jiwa Prihatin dan program Sedekah Nurjiwa bagi membuka peluang kepada orang ramai menyertai misi amal mereka. – WILAYAHKU