Berita

Had jawatan PM kerana DAP?

KERUSI pentadbiran di Putrajaya perlu mendapat dukungan semua parti bagi memungkinkan tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada 10 tahun. - Gambar hiasan
- Diterbit 24 Mac 2025 1:00 PM MYT
MENJADI bualan ramai kini apabila kerajaan sedia meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Maka muncullah suara-suara yang mempertikaikan usaha kerajaan yang dikatakan suara daripada parti DAP.

Berikutan sebelum ini pernah tular isu yang mendakwa jawatan Perdana Menteri boleh disandang oleh mana-mana kaum.

Jadi, terdapat segelintir netizen yang menuduh kononnya dasar mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun itu sebenarnya memberi laluan kepada kaum lain yang sudah lama mengidamkan jawatan tertinggi dalam negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan proses itu akan dilaksana dengan rapi kerana ia memerlukan konsensus semua parti serta sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

“Ada cadangan yang saya setuju seperti mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun, kerana kita tahu, kalau sampai 22 tahun, boleh rosak negara.

“Saya setuju tetapi kita perlu runding dapatkan dukungan semua parti supaya ada dua pertiga sokongan Ahli Parlimen.

“Jangan bimbang, kalau saya tidak mungkin lepas 10 tahun. Dua tahun pun sudah penat. Saya, PKR dan Pakatan Harapan bersetuju. Biar ada kesediaan, persetujuan dua pertiga, saya sendiri akan mulakan,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika Kongres Kebangsaan DAP ke-18, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Anwar berkata perkara seberat itu hanya akan diusul selepas kerajaan benar-benar bersedia.

“Tapi jangan bawa usul kalau belum cukup dua pertiga sebab pembangkang, apa dia hendak kata pun kita tidak boleh percaya, sebab dia boleh ubah. Fatwanya boleh berubah ikut masa.

“Kalau kuasa mutlak pada saya, esok saya luluskan, tapi bezanya saya bukan diktator,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam ucapannya berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata janji itu terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum lalu. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas