MALAYSIA terus memperkukuh kerjasama pertahanan dengan negara-negara lain bagi menangani ancaman siber dan fizikal, termasuk yang berpotensi timbul akibat pendirian negara terhadap isu Gaza.
Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan, antara langkah yang diambil ialah penglibatan aktif dalam ASEAN Cyber Defence Network (ACDN) yang ditubuhkan pada 2021 di bawah platform ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM).
“Inisiatif ini membolehkan negara-negara anggota bertukar maklumat serta memperkukuh keupayaan pertahanan siber secara kolektif,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Mindef berkata, pihaknya turut melaksanakan program SIBERSIAGA setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta orang awam.
“Program ini bertujuan memperkasa kawal selia ekosistem pertahanan siber negara dan membincangkan impak teknologi terhadap operasi ketenteraan.
“Sebagai langkah tambahan, kementerian menguatkuasakan Polisi Keselamatan Siber bagi menetapkan garis panduan serta tanggungjawab warga kementerian dalam memastikan keselamatan di ruang siber,” katanya.
Dalam masa yang sama, Mindef berkata pihaknya kini berada di fasa akhir memuktamadkan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP) yang turut memberi penekanan terhadap kesiapsiagaan ATM dalam menghadapi ancaman bukan tradisional, termasuk keselamatan siber, digital dan elektromagnetik pertahanan.
“Langkah ini dilihat sebagai strategi jangka panjang bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara di tengah-tengah cabaran keselamatan global yang semakin kompleks,” katanya.-WILAYAHKU