JIKA caj kesesakan dilaksanakan di Kuala Lumpur‚ kesesakan lalu lintas‚ terutama di kawasan pusat perniagaan‚ mampu dikurangkan sehingga 20 peratus‚ menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)‚ Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau memberi contoh pelaksanaan caj kesesakan di London dan Stockholm mengurangkan kesesakan antara 20 hingga 30 peratus.
Kawan-kawan Kedai Kopi hargai usaha kerajaan yang sentiasa mencari jalan memastikan kesesakan di ibu negara dapat dikurangkan. Caj kesesakan dilihat sebagai satu cara membantu mengatasi masalah ini. Kesesakan di Kuala Lumpur kian mendesak kerana jumlah kenderaan bertambah dengan cepat. Purata kenderaan keluar masuk ialah 1.5 juta sehari.
Warga kota lebih suka membawa kenderaan sendiri.
Namun kawan-kawan Kedai Kopi setuju dengan Dr Zaliha‚ sebelum caj kesesakan dilaksanakan‚ jaringan pengangkutan awam mesti lengkap bersepadu untuk mendorong orang ramai meninggalkan kenderaan di rumah. Juga‚ jika dilaksana kelak‚ caj usah membebankan.