Berita

Rakyat Malaysia di Sudan Selatan dinasihat pindah atau kembali ke tanah air

WISMA Putra Kementerian Luar Negeri Malaysia
- Diterbit 20 Mac 2025 10:00 AM MYT

RAKYAT Malaysia di Sudan Selatan boleh mempertimbangkan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat atau kembali ke tanah air secara sukarela jika merasakan keselamatan mereka terancam.

Demikian nasihat dikeluarkan Kementerian Luar Negeri mengenai situasi keselamatan yang semakin merosot di Sudan Selatan berikutan konflik bersenjata berterusan di negara tersebut.

Menurut pihak kementerian, rekod Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya menunjukkan terdapat 55 warganegara Malaysia di Sudan Selatan.

“Selain itu, seramai 18 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berkhidmat dalam misi United Nations Police (UNPOL) dan kesemua mereka dilaporkan selamat.

“Pihak kedutaan akan terus berkomunikasi dengan UNPOL bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pegawai PDRM yang sedang bertugas di negara tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Luar Negeri memaklumkan, memandangkan situasi di Sudan Selatan yang semakin meruncing dan sebagai langkah berjaga-jaga, rakyat Malaysia di negara itu dinasihatkan supaya berwaspada serta memberikan keutamaan kepada keselamatan diri.

“Kementerian juga menasihatkan supaya semua perjalanan ke Sudan Selatan ditangguhkan buat masa ini kerana situasi yang tidak menentu di negara tersebut.

“Semua warganegara Malaysia di Sudan Selatan dimohon untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya, bagi memastikan mereka menerima maklumat terkini dan bantuan sewajarnya.

“Warganegara Malaysia juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas