Berita

Cubaan masuk 45 warga asing ke Malaysia gagal

- Diterbit 19 Mac 2025 3:21 PM MYT

SERAMAI 45 warga asing telah ditolak dari memasuki Malaysia kerana gagal memenuhi syarat kemasukan dalam operasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata seramai 115 warga asing telah diperiksa sepanjang tiga jam operasi dijalankan yang bermula pada pukul 9 pagi.

“Operasi tersebut bertumpu di balai ketibaan antarabangsa dan hasil pemeriksaan mendapati seramai 36 warganegara Bangladesh dan sembilan lelaki warganegara Pakistan dikesan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.

“Mereka kemudiannya dibawa ke pejabat Unit Pemantauan bagi tujuan siasatan di mana pihak berkuasa memutuskan mereka tidak dibenarkan mendarat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut agensi itu, operasi tersebut dijalankan bertujuan untuk memastikan pematuhan terhadap Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen (ATKPI), Arahan Pentadbiran serta arahan-arahan semasa dan berlangsung dalam keadaan yang terkawal tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

“AKPS terus komited dalam memastikan kawalan keselamatan dan pematuhan terhadap peraturan imigresen di KLIA sentiasa dipertingkatkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas