PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak pembangkang agar tidak menjadikan cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai modal politik berbaur perkauman yang sempit dan dangkal.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, langkah menghadkan tempoh jawatan itu seiring dengan visi reformasi yang diperjuangkan Perdana Menteri di bawah gagasan Membangun Negara Madani.
“Cadangan ini bukan perkara baharu dan bertujuan memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih, sistem yang lebih teratur serta mengelakkan pemusatan kuasa yang boleh membuka ruang kepada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,” katanya ketika taklimat harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Beliau menegaskan bahawa negara jiran seperti Indonesia telahpun melaksanakan pendekatan serupa, dan Malaysia wajar mengambil langkah ke hadapan bagi memastikan landskap politik yang lebih matang serta kepimpinan yang progresif.
Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri turut meminta mana-mana Ahli Parlimen yang mempersoalkan perkara ini agar membaca sebelum mengkritik secara melulu.
“Perdana Menteri menasihatkan agar mereka meneliti buku Membangun Negara Madani, khususnya muka surat 181 di bawah tajuk ‘Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik’, sebelum membuat sebarang kenyataan yang tidak berasas,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri meneruskan komitmennya terhadap pembangunan negeri dengan mengadakan lawatan rasmi ke beberapa negeri minggu lalu, termasuk Selangor, Perak, dan Negeri Sembilan.
Menurut Tunku Nashrul, dalam lawatan tersebut, Perdana Menteri menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
“Antara perkara yang diberi tumpuan adalah isu kebajikan rakyat, termasuk infrastruktur, pendidikan, kesihatan, projek tebatan banjir, dan jaringan jalan raya,” katanya.
Jelasnya, Perdana Menteri percaya bahawa perbincangan berterusan antara kerajaan pusat dan negeri adalah penting dalam usaha memperbaiki sistem sedia ada demi kesejahteraan rakyat.
Dalam minggu ini, Perdana Menteri dijangka meneruskan lawatan ke Pulau Pinang, Terengganu, dan Sabah bagi melihat sendiri perkembangan semasa serta mendengar permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.-WILAYAHKU